Rabu, 7 Disember 2011

Dasar Selangor DiTiru BN

Oleh Mohd Hafiizh Mokhtar


SHAH ALAM : Usaha Kerajaan Pakatan Rakyat mengangkat taraf hidup rakyat Selangor diakui berkesan hinggakan Barisan Nasional meniru program-program yang tersedia, menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Ada program jom shopping dengan warga emas. Seratus ringgit kita bagi kepada warga emas, bersama-sama wakil kerajaan negeri membeli-belah di gedung membeli-belah. Mereka rasa seronok dan terbela bila kita bersama-sama mereka."

"Kerajaan Persekutuan pun nak tiru. Dia kumpulkan orang untuk diberi hamper. Saya periksa melalui rakan-rakan dalam pengurusan pusat beli-belah.

Kerajaan Persekutuan belanja RM200 untuk beri hamper bernilai RM100 ringgit. Kalau itu yang berlaku dalam Jom Shopping, saya pecat pegawai tu. Itu cara mereka, cara yang kita hendakkan adalah dari duit RM100 itu, kita dapat belanja seperti RM200,"katanya.

Abdul Khalid berkata demikian di program Rapat Rakyat di Shah Alam, 4 Disember lepas.

Beliau menjelaskan sikap boros Barisan Nasional ini antara faktor mengapa kemewahan negeri Selangor tidak dapat diagihkan kepada rakyat dengan lebih meluas.

Beliau juga melahirkan rasa marah kerana Barisan Nasional tetap membelanjakan wang rakyat sewenang-wenangnya.

"Itu sebab terpaksa berhutang sebab tak tahu jaga duit. Ini duit rakyat, dan duit rakyat harus diurus dengan cermat supaya ia 100% sampai ke tangan rakyat,"jelasnya.

Dilancarkan pada 15 Julai tahun ini, program Jom Shopping membolehkan warga emas membeli barangan keperluan untuk kesejahteraan dan keselesaan keluarga dan diri sendiri.

Dengan peruntukan kira-kira RM10 juta ringgit, program ini sebahagian dari agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Di majlis tersebut, Khalid berkata beliau tidak mahu membazirkan masa memarahi Umno-Barisan Nasional kerana Pakatan masih mempunyai banyak gerak-kerja reformasi yang perlu diuruskan.

"Kita ada program Ceria, dimana kita mengecat semula rumah pangsa lama supaya ia lebih selesa untuk didiami.

Di satu rumah pangsa Samudra di Batu Caves, BN pun bergegas turun kata nak cat rumah pangsa itu selepas mendengar program kita ini.

Perdana Menteri Najib Abdul Razak kata dia peruntukkan RM1.5 juta untuk projek itu. Saya terkejut, kerana perkiraan kita hanya memerlukan RM400,000",katanya.

Apa yang lebih mendukacitakan, sikap boros Barisan Nasional ini dikhuatiri meneruskan amalan memperkayakan kroni.

"RM400,000 bandingkan dengan RM1.5 juta...RM1.1 juta pergi ke mana? Rakyat dah bangun dari mimpi. Kita mengigau sudah lama,"jelasnya lagi.

Tiada ulasan: