Khamis, 22 Disember 2011

Dari 1Malaysia Ke Zaman Batu

malaysiadaily


JIKA rakyat terpaksa menuntut jalanraya melalui pilihanraya, apakah masih bermaruah Kerajaan Barisan Nasional yang melaungkan cogankata, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan’; sedangkan dalam masa yang sama Kerajaan menagih undi untuk menubuhkan sebuah kerajaan di atas penderitaan rakyat yang tidak berdosa!

Bagi yang tidak mempunyai kesempatan untuk menyaksikan Videoklip, berikut jalinan cerita yang menjadi kerangka Videoklip ini yang digubal khas untuk masyarakat Kampung Kolorok, Tenom yang tersepit di celah kangkang Birokrasi Jabatan Perhutanan Sabah.

Jalanraya umpama arteri atau saluran darah yang membawa darah beroksigen keluar dari jantung untuk mengalir ke seluruh tubuh manusia demi memastikan semua sistem berfungsi dan mempunyai bekalan darah yang mencukupi.

Sejak pilihanraya pertama Sabah pada 1969, rakyat Sabah terutama di Pedalaman Tenom menaruh harapan yang tinggi agar janji kerajaan untuk membina jalanraya menghubungkan kampung mereka dengan pekan Tenom; yang diperbaharui setiap kali pilihanraya umum dapat ditunaikan kerana jalanraya adalah nadi kehidupan manusia.

Mengikut sejarah, jalanraya sudah wujud sejak 5,000 tahun sebelum masehi di Pergunungan Kaukasus dan Teluk Parsi, terutama setelah manusia mengenal tamaddun dan bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan, sama ada untuk meluaskan tanah jajahan atau untuk menjana kegiatan ekonomi.

Di Eropah, jalan tertua dikenali sebagai Jalur Kuning yang bermula dari Yunani dan Tuscany sehingga ke Laut Baltik. Manakala di Asia timur, bangsa Cina membangun jalan yang menghubungkan kota-kota utamanya mencapai 3,200 kilometer.

Di Rom, ketika berada di puncak kejayaan, telah membina jalanraya sepanjang 85,000 kilometer yang terbentang luas dari Inggeris sehingga ke Afrika Utara; dari pantai Lautan Atlantik di Semenanjung Iberia sehingga Teluk Parsi.

Tetapi di Sabah, yang bersama membentuk Negara Malaysia pada 16 September 1963; setelah beribu tahun ditinggalkan kemasyhuran Kerajaan Rom, Kerajaan Barisan Nasional yang menjanjikan 1,500 kilometer jalan raya di Sabah dan Sarawak melalui Nilai Keberhasilan Utama Negara (NKRA) tidak dapat menunaikan janji untuk membina jalan ke Kampung Korolok, Mukim Rundum di Tenom.

Bukan kerana Kerajaan 1Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri MOhd Najib Tun Abdul Razak tidak mampu menghubungkan ‘jalan maut’ Kampung Korolok ke Kemabong sejauh 7 kilometer sahaja, tetapi disebabkan karenah birokrasi Jabatan Perhutanan Sabah yang masih berteka-teki menunggu jawapan pasti antara telur dengan ayam telah menghalang sebarang pembangunan di kawasan Hutan Simpan.

Bagi penduduk kampung Korolok, hutan adalah ‘Supermarket’ kurniaan Tuhan kepada mereka, bukan sahaja untuk mendapatkan binatang buruan, malah ubat-ubatan, tempat bercucuk tanam, tanah perkuburan dan perkampungan.

Namun bahasa yang digunakan oleh penduduk kampung tidak sama dengan bahasa Jabatan Perhutanan. Bagi penduduk kampung, tanah yang mereka duduki adalah tanah Adat yang diwarisi sejak turun temurun, sebelum kewujudan sebuah negara yang bernama Malaysia.

Tetapi bagi Jabatan Perhutanan, tanah yang diduduki penduduk kampung adalah kawasan yang diwartakan sebagai Hutan Simpan dan mereka hanya berpegang kepada prinsip, “Saya Yang menurut Perintah” (SYMP); lalu menguatkuasa Enakmen Perhutanan Sabah, tanpa belas kasihan; sekalipun tanpa perintah mahkamah.

Ramai yang disumbat ke lokap dan didenda kerana menceroboh Hutan Simpan, sekalipun untuk mengambil kayu api atau ubat-ubatan; apatah lagi yang telah bercucuk tanam dan mengamalkan pertanian pindah sejak turun temurun.

Sama ada penduduk kampung yang buta huruf atau Jabatan Perhutanan yang tidak tahu membaca; kawasan yang didakwa sebagai Hutan Simpan adalah tanah yang bergeran seperti Kampung Katubu, Sumambu dan juga Korolok.

Kerajaan Barisan Nasional 1Malaysia tidak mampu berbuat apa-apa ketika penduduk kampung Imahit dan seluruh Sabah di’dera’ Jabatan Perhutanan sehinggalah Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman memutuskan untuk memihak kepada Anak Negeri Sabah yang terperangkap di dalam Hutan Simpan dengan meluluskan Geran Komunal.

Sekalipun Anak Negeri Sabah mula terbela melalui pemberian Geran Komunal, tetapi Jabatan Perhutanan masih terus berdegil dan enggan membenarkan pembinaan infrastruktur seperti jalanraya, bekalan elektrik dan bekalan air melalui kawasan hutan simpan, sedangkan dalam masa yang sama lori balak bebas menggunakan jalan berkenaan mengangkut balak curi atau dari kawasan konsesi.

Akibatnya, penduduk kampung terpaksa membina jalan mereka sendiri dengan menggunakan cangkul dan tulang empat kerat setelah rayuan demi rayuan Wakil Rakyat tidak diendahkan Jabatan Perhutanan.

Penduduk kampung terpaksa menyumpah seranah Kerajaan Barisan Nasional dan Wakil Rakyat kerana kesengsaraan den penderitaan yang mereka lalui tidak berbaloi dengan undi yang mereka berikan setiap kali pilihanraya umum.

Akibatnya ramai yang berpaling tadah menyokong pembangkang atau memboikot pilihanraya sebagai tindakan ‘protes’; sedangkan hati mereka dipateri kukuh dengan kesetiaan terhadap Kerajaan Barisan Nasional.

Hati mana yang tidak sakit jika ibu mengandung terpaksa berjalan kaki sejauh 7 kilometer sebelum menumpang kenderaan yang lalu lalang atau menaiki motorsikal kerana jalan balak yang digunakan selama ini rosak teruk dan tidak pernah diselenggara.

Suami mana yang sanggup turun membuang undi jika doktor menasihati beliau membuat keputusan untuk mengikat atau membuang rahim isteri tercinta kerana setiap kali mahu melahirkan anak, anak mati dalam kandungan atau keguguran kerana jalanraya menuju kampung mereka ber’ombak besar’ dan isteri terpaksa berjalan kaki kerana jika menunggang motorsikal, hentakan jalan bukan sahaja boleh menyebabkan isteri melahirkan anak di tengah jalan, malah boleh menempah maut.

Bayangkan betapa pilunya hati seorang ibu yang mengandungkan anak selama lebih 9 bulan; berjalan kaki sejauh 7 kilometer setiap kali mahu ke Klinik Ibu Mengandung; tiba-tiba mendapati anaknya tidak lagi bernyawa sebaik sahaja dilahirkan atau mati sebelum sempat sampai ke hospital.

Penduduk kampung tidak mengharapkan lebuhraya bertol atau jalan berturap; cukup sekadar jalan berbatu kelikir yang boleh dilalui oleh semua jenis kenderaan; namun setelah peruntukan sejumlah RM7 juta tersedia sejak 2007, Jalan ke Kampung Korolok tidak dapat dibina kerana Jabatan Hutan enggan memberi izin lalu.

Setelah 48 tahun menunggu ‘jalan khinzir’ sepanjang 7 kilometer dinaik taraf, penduduk kampung Korolok kini berputus asa setelah mendengar peruntukan jalan mereka akan dipindahkan ke kawasan lain dan mungkin terpaksa menunggu 48 tahun atau seribu tahun lagi sebelum Jabatan Perhutanan Sabah memberi izin lalu.

Persoalannya, berapa ramai kanak-kanak yang tidak berdosa terpaksa dikorbankan (mati dalam kandungan) untuk melembutkan hati Pengarah Perhutanan Sabah? Berapa ramai orang sakit memilih untuk mati di rumah daripada mendapatkan rawatan di Hospital, sehingga menyusahkan keluarga dan saudara mara untuk memikul jasad ke Hospital atau membawa kembali jasad yang telah menjadi jenazah kembali ke kampung kerana tidak mampu bertahan di panah terik mentari atau dicurah hujan lebat?

Hakikat inilah yang terpaksa ditelan pahit oleh Ahli Parlimen Malaysia (Tenom), Datuk Raime Unggi yang tidak dapat mengubah takdir jika Jabatan Perhutanan tersilap tadbir dan terus bebal mempertahankan Enakmen Perhutanan Sabah; sedangkan Raime terhutang budi kepada para pengundinya yang merupakan penyokong tegar Barisan Nasional.

Apakah masih ada yang sayang kepada penduduk Kampung Korolok atau mereka terus dikorbankan pada pilihanraya ke 13 ini demi meneruskan Ego Jabatan Perhutanan Sabah yang lebih mengutamakan khinzir dan kera daripada pemilih berdaftar yang mempunyai kuasa untuk menaik atau menurunkan sebuah kerajaan?

Jika rakyat terpaksa menuntut jalanraya melalui pilihanraya, apakah masih bermaruah Kerajaan Barisan Nasional yang melaungkan cogankata, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan’; sedangkan dalam masa yang sama Kerajaan menagih undi untuk menubuhkan sebuah kerajaan di atas penderitaan rakyat yang tidak berdosa! - MUTALIB M.D (sabahkini)

LIHAT VIDEO

Tiada ulasan: