KUALA LUMPUR: Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat akan mengadakan ceramah perdana khas bagi menjelaskan isu terkini Felda dan Kampung Baru kepada orang ramai di Kolej Universiti Zulkifli Mohamad (KUIZM) di Taman Melewar, di sini, malam esok, 10 Disember, mulai jam 9.00 malam.
Ceramah yang akan diadakan dengan kerjasama Persatuan Anak-Anak Peneroka Lembah Klang (Anak) itu merupakan lanjutan kepada siri kempen Selamatkan Felda dan Kampung Baru yang dilancarkan kelmarin, 8 Disember di Felda Gugusan Jengka.
Pengerusi Anak Lembah Klang, Mohd Nasaie Ismail berkata, ceramah tersebut akan melibatkan beberapa orang tokoh dalam PAS termasuk Timbalan Presiden, Mohamad Sabu.
Menurutnya, manakala tokoh-tokoh lain termasuk Naib Presiden PAS yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub, Presiden Anak, Mazlan Aliman, bekas pegawai kanan Bank Negara, Dr Rosli Yaakub dan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Nor Mohd.
"Orang ramai dijemput hadir bagi mendengar penerangan dan beberapa pendedahan berkaitan isu Felda dan Kampung Baru serta menyatakan sokongan kepada gerakan selamatkan Felda dan Kampung Baru ini," katanya yang juga Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Permasalahan terkini yang berlaku dalam Felda, menurut beliau, amat perlu diketahui oleh orang ramai bagi menyedarkan pihak-pihak terbabit agar tidak bertindak sewenang-wenangnya terhadap organisasi tersebut.
Katanya, kecemerlangan Felda amat penting kepada seluruh warga peneroka dan bagi pembangunan ekonomi negara, tetapi tindakan Pengerusinya, Tan Sri Isa Samad dan koncu-koncunya kebelakangan ini seolah-olah lebih ke arah menghancurkan organisasi itu.
"Antara tindakan keterlaluan yang dilakukan oleh Isa termasuk persetujuannya untuk memetrai perjanjian pajakan tanah Felda sehingga 99 tahun dengan Felda Global Vantures Sdn Bhd yang ternyata akan menggelapkan masa depan seluruh peneroka," katanya.
Perjanjian tersebut dilakukan bagi membolehkan hasrat pihak-pihak terbabit dengan kerjasama sepenuhnya pemimpin-pemimpin Umno BN menyenaraikan Felda ke dalam Bursa Saham Malaysia terlaksana.
"Segala tindakan itu diambil bagi kepentingan peribadi pihak-pihak terbabit walaupun ia akan mengorbankan masa depan warga peneroka sendiri," katanya.
Tindakan yang sama, tegas beliau, turut dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno berhubung tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur walaupun ia ditentang hebat oleh pemilik-pemilik tanah di kampung itu.
"Semua ini perlu diketahui oleh orang ramai bagi membolehkan kesemua pihak mendapat maklumat yang jelas mengenai tindak tanduk para pemimpin Umno BN selama ini.
"Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat dan Anak tidak akan membiarkan para pemimpin Umno BN bertindak sewenang-wenangnya ke atas rakyat bagi membolehkan kesemua pihak faham mengenai kepentingan mereka menjaga dan mempertahankan hak masing-masing," tegas beliau. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan