Ahad, 11 Disember 2011

ANTARA PEJUANG TANPA WAJAH DAN PEJUANG BANYAK WAJAH

RONTOG DAILY

Tulisan Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ahli Parlimen Kota Belut yang memperjuangkan pejuang-pejuang tanpa wajah dalam UMNO, yang tersiar di http://www.mpkotabelud.blogspot.com memang cukup menarik. Tidak hairan kalau ia dipetik dan disiarkan semula oleh bebeberapa portal dan blog.

Memang benar seperti kata Abdul Rahman, adalah tidak adil untuk menuduh semua perwakilan dan ahli UMNO sebagai kaki ampu, kaki bodek, kuat beretorik dan sebagainya. Seperti kata beliau juga, masih banyak – malah sangat banyak – yang berjuang dengan ikhlas, dengan bersemangat dan dengan penuh kesedaran tanpa mengharap apa-apa laba dan pulangan.

Jiran saya di Kuala Lumpur, orang Sabah juga, telah 65 tahun usianya menjadi satu-satunya orang yang memacakkan bendera BN di depan rumah di taman perumahan kami. Dia bukan ketua cawangan, bukan ajk dan bukan siapa-siapa. Dan sepanjang mengenalinya sejak lama dahulu saya cukup tahu bahawa dia tidak pernah meminta sebarang permit, projek atau apa pun juga daripada sesiapa. Jika ada pun mungkin sedikit ‘duit penat’ kerana membantu menampal poster pada musim pilihan raya.

Tapi semangatnya jangan dibuat main. Burukkanlah BN atau UMNO di hadapannya, kemudian lihatlah bagaimana dia bermati-matian mempertahankannya.

Orang macam dia sebenarnya masih ada dan masih ramai dalam UMNO.

Masalahnya mereka ditenggelamkan oleh puak satu peratus, yang disifatkan sebagai dalang yang tidak boleh dijadikan kayu pengukur oleh Abdul Rahman. Puak satu peratus inilah yang sangat banyak muka dan wajahnya, yang telah menjadi ‘suara besar’ dan ‘kepala besar’ dalam UMNO. Mereka inilah punca tercetusnya bermacam-macam persepsi negatif terhadap parti itu, BN dan seterusnya kerajaan.

Satu peratus itu kecil jika ahli UMNO cuma beberapa ratus orang. Tetapi dengan angka keahlian lebih 3.3 juta, maka satu peratus itu bersamaan dengan lebih 33,000 orang. Satu jumlah yang tidak kecil. Jika dibahagi secara rambang bermakna setiap bahagian UMNO mempunyai kira-kira 171 orang ‘dalang’ ini. Kalau seekor kerbau membawa lumpur sudah boleh menyebabkan satu kandang terpalit, bayangkanlah jika di kandang itu ada 171 ekor kerbau.

Inilah cabaran besar yang dihadapi oleh UMNO dan kepimpinannya. Bagaimana hendak menangani puak 33,000 orang ini sedangkan mereka umumnya licik-licik belaka? Kita pun tidak tahu berapa ramaikah antara 33,000 itu yang berjaya menyelit masuk untuk berada dalam barisan perwakilan di Dewan Merdeka? Di muka mereka bukannya ada cop…- TB

Tiada ulasan: