Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozen Azen Mat Razip mahu Pakatan Rakyat menolak jika Kita mahu menyertainya di saat-saat akhir.
PETALING JAYA: AMK PKR menyifatkan keputusan parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) tidak menyertai pilihan raya umum akan datang sebagai ikhlas dan matang.
Bagaimanapun, Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozen Azen Mat Razip, dalam satu kenyataan media hari ini, mahu Pakatan Rakyat menolak jika Kita mahu menyertainya di saat-saat akhir.
“AMK berpandangan ianya perlulah ditangguhkan kerana bimbang berlakunya insiden dan tuduhan sabotaj dari dalam terhadap kelancaran gerak kerja jentera dan kempen Pakatan.
“Sekiranya ada pengumuman terbaru dan di saat akhir dicadangkan agar parti Kita bergabung dan bertanding sebagai salah satu komponen Pakatan atau mana-mana ahli Kita ingin kebebasan demokrasi bertanding sebagai calon Bebas apabila Parlimen dibubarkan kelak bagi menjalankan PRU 13, ianya perlu ditangguhkan,” katanya.
Katanya, AMK bersetuju dengan prinsip asas Datuk Zaid Ibrahim menunjukkan solidariti bahawa Kita secara terbuka ingin turut membuat penolakan total terhadap corak fasisme dan authoritarian Umno-Barisan Nasional.
Menurutnya, AMK percaya kemungkinan faktor-faktor real politik seperti persediaan jentera yang belum cukup, calon boleh menang, manifesto yang belum cukup mantap dan menarik, strategi tidak mapan dan berhasil, pengalaman yang kurang serta persaingan sengit adalah di antara punca pengumuman itu dibuat.
Semalam Zaid mengumumkan Kita tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan