PULAU PINANG : Media arus perdana disaran mengambil iktibar kemenangan kes saman Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng terhadap Utusan Malaysia, kata Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang dalam satu kenyataan.
Ini kerana katanya, antara keputusan penting dalam kes itu ialah Utusan jelas melanggar etika kewartawanan dalam laporannya.
“Kami kesal dan kecewa melihat media massa arus perdana yang dikuasai sekutu Umno sering diperalat untuk memecah-belahkan keharmonian kaum dan agama di Malaysia.
“Kami berharap Utusan dan media arus perdana lain mengambil iktibar daripada keputusan Hakim dan menghayati seruannya bahawa pengamalan kewartawanan bertanggungjawab penting kepada sistem demokratik di Malaysia,” kenyataan itu dipetik.
Keputusan itu juga katanya, membuktikan Pakatan Rakyat, Guan Eng dan kerajaan Pulau Pinang tidak rasis dan jauh sekali anti Melayu sebagai mana didakwa akhbar Umno itu.
“Hakim juga memutuskan Utusan Malaysia mengamalkan “selective vendetta” atau dendam terhadap Ketua Menteri dan DAP dengan tujuan memfitnahkan mereka secara tidak adil,” katanya.
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 14 Disember lalu mendapati akhbar milik Umno itu bersalah kerana memfitnah Guan Eng berhubung berita bertajuk ‘Kebiadaban Guan Eng’ dan diterbitkan pada 20 Disember tahun lalu.
Sehubungan itu, Utusan diarah membayar pampasan RM200,000 kepada Guan Eng dan RM25,000 lagi sebagai bayaran kos.
Sementara itu, Guan Eng berkata, beliau akan mendermakan RM200,000 itu kepada badan-badan amal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan