Mereka melaungkan "Hidup Felda", "Hancur PAS" sambil memegang sepanduk, selain turut menyanyikan lagu patriotik 'Inilah Barisan Kita'.
KUALA LUMPUR: Kira-kira 1,000 peneroka Felda hari ini berdemo di depan Ibu Pejabat Felda di sini bagi menyatakan sokongan terhadap program transformasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak serta Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.
Kumpulan tersebut yang hadir dengan puluhan bas mula berkumpul di bangunan Anjung Felda kira-kira pukul 11 pagi tadi sebelum mula berarak kira-kira 200 meter ke ibu pejabat.
Sepanjang demontrasi itu mereka melaungkan “Hidup Felda”, “Hancur PAS” sambil memegang sepanduk, selain turut menyanyikan lagu patriotik ‘Inilah Barisan Kita’.
Suasana di luar ibu pejabat Felda kelihatan agak kecoh dengan reaksi beberapa peneroka yang emosi mengutuk Pakatan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda (Anak) Mazlan Aliman, namun berjaya dikawal polis.
Kumpulan tersebut yang diwakili beberapa badan bukan kerajaan termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Felda, Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), dan Pengerusi Gerakan Memartabatkan Pejuang Negara (GMPN, dan Pemuda Umno Selangor kemudiannya menyerahkan memorandum kepada pegawai Felda.
Sementara itu, Perkasa Felda mengutuk golongan yang menjadi gunting dalam lipatan menghalang Transformasi Najib memajukan Felda, namun tidak menyatakan nama individu yang terlibat.
Duri dalam daging
Menurutnya, wujud individu yang menjadi duri dalam daging serta mempunyai agenda peribadi bersekongkol dengan pembangkang menentang kepimpinan Najib dan Isa secara senyap.
“Kami menyokong penuh Datuk Dzulkifli Abdul Wahab dihantar bercuti bagi menambah ilmu pengetahuannya.
“Kami yakin tindakan ini tepat pada masanya dan sudah tentu tindakan ini tlah difikir semasak-masaknya oleh Perdana Menteri,” kata Perkasa Felda dalam memorandum terbabit.
Sementara itu, Presiden MBFM Anuar Abdul Manaf berkata pihaknya turut membantah campur tangan Anak yang didakwanya telah memecah-belahkan masyarakat Felda dan mempolitikkan isu Felda setelah 50 tahunmasyarakat itu hidup dalam aman dan harmoni dibawah payung Felda.
“Kami juga sepakat menyokong penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd ke Bursa Malaysia yang mana ianya akan memberikan kebaikan kepada warga Felda dan negara,” katanya.
Sebelum itu, difahamkan MBFM pagi tadi bersama kira-kira 800 orang menghantar memorandum mengecam campur tangan Anak dalam isu Felda di Ibu Pejabat Pas namun gagal bersua dengan Mazlan.
‘Tiada etika’
Kelmarin, Anak dan kira-kira 50 penyokongnya turut mengadakan demonstrasi aman serta menghantar memorandum menyatakan sokongan mengekalkan Dzulkifli sebagai Pengarah Besar Felda.
Mazlan dalam memorandumnya mendakwa Dzulkifli sepatutnya ‘direhatkan’ selama enam hingga sembilan bulan bagi mengikuti Kursus Pengurusan Lanjutan untuk meningkatkan lagi prestasi beliau dalam Program Transformasi Felda bermula 25 November lalu.
Namun Dzulkifli didapati telah bercuti 14 hari lebih awal daripada tarikh yang dinyatakan Isa melalui surat kepada Perdana Menteri pada 21 November lalu.
“Ini proses penyingkiran kepada seseorang yang dilihat tidak mengikut telunjuknya.
“Adalah menyedihkan seorang Pengarah Besar diperlakukan begitu hina.
“Tiada etika dan biadap terhadap Ketua Eksekutif Kumpulan yang mempunyai 23,000 kakitangan,” tegas Mazlan dalam memorandum itu.
Mazlan mendakwa, semua ini berpunca apabila Dzulkifli tidak mampu bekerjasama bagi merealisasikan impian Isa untuk melihat Felda Global Venture Holdings Sdn Bhd (FGVH) tersenarai dalam Bursa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan