Selasa, 8 November 2011

Saifuddin bak kunang-kunang demokrasi malap


Zainal Salleh

Perihal meniru dari tamadun yang lebih maju memang banyak manfaatnya. Demokrasi salah satu daripadanya.

Melalui sistem politik yang dicerna dan digilap oleh tamadun barat ini, warga dunia mengenal erti hak dan tanggungjawab yang sekaligus membantu melakar budaya kerja, sistem pendidikan, ekonomi dan tatakelola masyarakat yang adil dan berkesan.

NONEBagaimanapun ilmu demokrasi jika tidak digunakan pada tempatnya, pasti meninggalkan natijah yang tidak baik. Malah tatakrama demokrasi mestilah sentiasa disalut dengan rapi ke dalam susuk dan jiwa demokrasi. Maka, paksi utama jiwa demokrasi yang mesti dihayati ialah integriti pelaku dan penegak demokrasi itu sendiri.

Demokrasi ditegak dengan hujah yang bernas serta demokrasi yang padu. Setiap pelaku dalam sistem ini perlu ada integriti.

Ini bermaksud hujah yang dilontarkan ke tengah khalayak masyarakat mestilah bermatlamat untuk melengkap dan menyempurnakan penghayatan demokrasi ialah keadilan dan kesaksamaan bagi negeri yang menganut faham demokrasi.

Asas tunjang demokrasi ialah soal hak bersuara harus dikawal selia oleh peribadi dan niat membangun prasarana keadilan dan kesaksamaan. Lantas hak berhujah mestilah adalah kesusilaan dan tatakramanya.

Akhlak luhur

Soal kebenaran yang utama. Ini mestilah diturut dengan soal akhlak yang luhur dan niat yang bersih demi membangun system kebajikan terbaik kepada khalayak ramai.

NONEDemokrasi bukan soal angka. Siapa lebih banyak sokongan dia yang diberi mandat mutlak. Ia lebih daripada itu. Demokrasi menuntut setiap suara dinilai kebaikan dan keperluannya dalam tugas besar membina bangsa dan negara. Sebab itu ia tidak boleh didokong oleh jiwa dan gelagat politikus yang rendah akhlak dan akal budinya.

Lantas apabila ahli parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah mengatakan umum perihal betapa terancamnya amalan dalam sistem demokrasi hari ini, tidak ada pihak yang boleh menafikan kebenaran kenyataannya.

Beliau menegaskan musuh terbesar kepada status demokrasi di Malaysia hari ini ialah soal integriti.

Banyak kisah dan laporan yang boleh dihamburkan mengenai betapa rendah dan memualkan gelagat mereka yang menggelar diri ahli politik yang memperjuangkan demokrasi hari ini.

NONEAmalan cantas mencantas menjadi pilihan apabila idea dan pandangan mereka yang tidak bernas ditewaskan oleh kewarasan dan leluhur budi rakyat. Ini berlaku dalam hampir semua parti yang bersaing di sayembara demokrasi Malaysia.

Apabila ternyata ketandusan idea yang bernas, kuasa pengimbal digunakan – wang dan peluang kekayaan untuk menambat hati penyokong digunakan. Perihal ini adalah rahsia umum di dalam sistem politik berparti di negara ini.

Lebih hodoh lagi ialah apabila ada saingan yang terlalu ampuh dihadapi dalam merebut persada kuasa, fitnah pula dipasang. Maka terperangkaplah rakyat Malaysia dalam kesamaran piagam “hak bersuara” yang dianjurkan demokrasi.

Menongkah arus

Neraca penghakiman mereka diwarnai oleh pelbagai fakta bikinan dan direkacipta untuk mengkabur dan melunturkan kepercayaan umum terhadap saingannya. Ini amat berbahaya.

Ia boleh membunuh keluhuran dan akhir sekali integriti sistem demokrasi itu sendiri yang menawarkan kebebasan bersuara.

NONESaifuddin mungkin muncul dalam sebuah parti yang menerajui tampuk pemerintahan negara. Namun keprihatinannya terhadap soal lunturnya nilai luhur dan integriti pelaku demokrasi amat menyejukkan hati.

Ada juga di kalangan ahli politik yang masih mahu berpegang kepada asas-asas demokrasi iaitu menggunakan kebebasan bersuara untuk mempertahankan keluhuran demokrasi.

Namun ramai yang sinis dengan pandangan ini. Malah prinsip yang dipegangnya mungkin tergugat dek budaya politik yang kini semakin terhakis nilai integritinya. Malah ramai yang pesimis tentang hayat politik Saifuddin.

Beliau menongkah arus; bukan sekadar arus yang menderu dalam partinya malah sistem politik Malaysia keseluruhannya.

Ini kerana masyarakat Malaysia kini sudah seolah diasuh untuk bersikap sinis pada soal politik dan ahli politik. Maka apabila Saifuddin cuba memperingatkan soal pasak demokrasi – integriti – ramai menilai rekod parti yang dianggotai beliau dan bukan mesej yang beliau sampaikan.

NONEMalah ada golongan yang yakin Saifuddin cuma akan berjaya merangkul idealismenya jika ia berdiri berhujah di platform parti saingan Umno dan Barisan Nasional.

Ini adalah ciri sinis politik hari ini. Di Malaysia semakin ramai yang tidak dapat menyembunyikan rasa mual, jelak dan ben ci mereka pada system dan amalan politik. Hakikat ini dituding dengan yakin oleh Saifuddin kepada sikap dan gelagat ahli politik sendiri.

Kunang-kunang

Namun, entah kenapa ia terjadi masyarakat umum amat mengalu-alukan pandangan bersih sebegini dan tidak bersedia memalitkan kewibawaan Saifuddin dengan perumpamaan “tepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri”.

Mungkin ini kerana terlalu lama rakyat Malaysia menunggu munculnya adiwira yang berani dan ikhlas bercakap mengenai soal integriti pemimpin terlebih dahulu sebelum bersedia mendengar mesej perjuangannya dalam politik.

Students in politics, PAS Youth meeting with Saifuddin AbdullahMeskipun pemikiran Saifuddin ini pada hari ini boleh dianggap sinar kunang-kunang dalam demokrasi Malaysia ia menandakan masih ada harapan idealisme ini akan jadi penawar kepada amalan meniru sistem dan tamadun Barat tanpa tapisan iman dan anutan budaya yang bersusila dan sopan.

Selamat datang keluhuran dalam demokrasi Malaysia. Padamkan kebejatan yang merantai demokrasi yang pincang. MALAYSIA KINI


ULASAN ini adalah pendapat peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Zainal Salleh adalah bekas penjawat awam dan aktif dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian. Beliau sekarang menjadi seorang penulis bebas.

Tiada ulasan: