Pertemuan dengan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki juga tidak membuahkan hasil dan keputusan merobohkan asrama berkenaan tetap akan dilakukan.
SHAH ALAM: Cadangan untuk merobohkan asrama di Kampung Pandan oleh Yayasan Selangor mendapat bantahan oleh pihak Komuniti Alumni, yang menggesa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengkaji semula tindakan tersebut.
Penyelaras Komuniti Alumni Yayasan Selangor Badrulzaman Baharuddin, berkata asrama yang menempatkan 465 pelajar diberi notis Julai lalu untuk mengosongkan bangunan berkenaan tahun depan.
Yayasan Selangor menutup asrama kedua-dua asrama – Asrama Tun Dr. Ismail (ATDI) dan Asrama Toh Puan Norasikin (ATPN) kerana dikatakan tapak kedua-dua aset kebanggaan anak-anak Selangor itu kini dikelilingi pembangunan komersil dan tidak sesuai lagi untuk tujuan penginapan asrama dan pembelajaran.
Badrulzaman yang kesal di atas tindakan itu berkata, satu taklimat dan kaji selidik yang dilakukan bersama ibu bapa para pelajar menunjukkan 90 peratus menentang pemindahan asrama tersebut.
Malah pertemuannya dengan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki juga tidak membuahkan hasil dan keputusan merobohkan asrama berkenaan tetap akan dilakukan.
“Kami bertemu dengan Ilham dan beliau beri alasan bahawa pengurusan asrama itu hanya meningkatkan kos sehingga berganda-ganda. Beliau juga berkata kemerosotan para pelajar juga menjadi punca untuk merobohkan asrama tersebut.
`Tidak patut diroboh’
“Sedangkan kerajaan negeri sendiri tiada perancangan rapi…alasan diberikan pula kerana mahu membuat MRT memandangkan nilai tanah di tempat itu agak tinggi.
“Yayasan ini tidak patut dirobohkan dengan tergesa-gesa, malah pihak Menteri Besar perlu menyediakan alternatif lain kepada para pelajar dan ibu bapa. Kami mahu penempatan di sekolah-sekolah ternama ini diteruskan memandangkan asrama ini telah mula beroperasi sejak 1975 lagi,” katanya dalam sidang media di lobi Dun hari ini.
Satu memorandum bantahan turut diserahkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias.
Sementara itu, Mohd Shamsudin berkata isu ini membuktikan kerajaan Pakatan hanya memikirkan keutungan semata-mata dan mengorbankan objektif asal untuk membantu anak-anak miskin luar bandar dibela oleh kerajaan negeri.
“Dalam penggulungan beliau (Abdul Khalid) bagi alasan remeh. Kalau tanah diambil di mana mereka (para pelajar) akan ditempatkan?
“Sedangkan MB hanya fikir tentang keuntungan kerana kawasan itu lubuk emas. Kerajaan Pakatan menghalalkan matlamat dan mengorbankan objektif asal penubuhan Yayasan Selangor yang bertujuan bantu pelajar miskin dari luar bandar.
“Selepas berpuluh-puluh tahun jadi institusi,ia perlu dikekalkan. Minta MB kaji dan dengar rintihan mereka,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan