Khamis, 3 November 2011

AUKU: Rayu Atau Tidak Diketahui Esok - Khaled Nordin

MSTAR ONLINE


PUTRAJAYA: Keputusan sama ada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan merayu atau tidak berhubung keputusan Mahkamah Rayuan terhadap peruntukan Seksyen 15 (5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), dijangka diketahui esok.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata penelitian terhadap keputusan penghakiman sudah dibuat, kini bergantung kepada cadangan serta pendapat kabinet sama ada wajar atau tidak untuk merayu.

"Buat masa ini, saya tidak ada apa yang nak ditambah mengenai isu AUKU, kita tunggu sahaja keputusan Kabinet esok," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Inovasi peringkat kementerian di sini, Khamis.

Mahkamah Rayuan Isnin lepas, memutuskan Seksyen 15 (5)(a) AUKU yang melarang pelajar menyatakan sokongan dan simpati atau bangkangan kepada mana-mana parti politik dalam dan luar negara, adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Mengenai pandangan banyak pihak termasuk beberapa Naib Canselor, yang menyatakan bahawa adalah tidak salah pelajar berpolitik, Mohamed Khaled berkata, memang tidak salah tetapi masyarakat umum seharusnya memahami secara mendalam tujuan Fasal 10 (2) Perlembagaan Persekutuan diwujudkan.

"Fasal itu menyatakan bahawa hak-hak kebebasan itu boleh disekat jika ia bertujuan bagi maksud pendidikan. Jadi, apakah yang ada dalam pemikiran mereka yang melahirkan Fasal 10 (2), itu yang perlu diterjemahkan," katanya. -BERNAMA

Tiada ulasan: