Selasa, 6 September 2011

PAS S'gor: Tulis semula sejarah merdeka

MALAYSIA KINI

Pemuda PAS Selangor berkata, pihaknya amat bersetuju sekiranya sejarah kemerdekaan negara ini dikaji dan ditulis semula "secara berilmiah dan beradab".

Ketua dewan itu Hasbullah Mohd Ridzwan (bawah) berkata, ini kerana masyarakat seolah-olah melihat sejarah kemerdekaan seperti sejarah Umno semata-mata, tanpa membabitkan tokoh lain.

NONE"Dewan Pemuda PAS negeri Selangor mengganggap sejarah kemerdekaan Malaysia masih ada banyak kelompongan fakta yang perlu ditambah dan diperbaiki, terutamanya yang membabitkan perjuangan tokoh-tokoh agamawan yang mempelopori gerakan kebangkitan rakyat melawan penjajah," katanya.

Menurutnya lagi, pejuang kemerdekaan yang didakwa dinafikan hak dinobat sebagai tokoh kemerdekaan antaranya beberapa ulama seperti Tok Janggut di Kelantan, Abdul Rahman Limbong (Terengganu), Mat Kilau dan Dato' Bahaman (Pahang), Abu Baqar Basyir dan Dr Burhanuddin Al Helmi.

Isu pensejarahan kemerdekaan berbangkit apabila Mohamad Sabu menjadi sasaran serangan apabila timbalan presiden PAS itu dilapor berkata penyerang balai polis Bukit Kepong Muhammad Indera sebagai hero sebenar.

Rentetan laporan itu, Mohamad Sabu menjadi sasaran serangan di media arus perdana apabila beliau dituntut meminta maaf secara terbuka dan dikenakan tindakan bawah Akta Hasutan.

Fakta kukuh, bertanggungjawab

Dalam kenyataannya hari ini, Hasbullah berkata, pihaknya sejarahwan perlu mendesak kerajaan membuka ruang seluas-luasnya untuk membicarakan isu kemerdekaan secara telus dan terperinci.

"Pihak kerajaan perlu menyediakan pentas untuk perbincangan ilmiah secara langsung yang membabitkan pihak sejarahwan ini bersama dengan timbalan presiden PAS dan wakil Umno supaya mereka dapat membentangkan hujah dan fakta mereka berkaitan isu sejarah kemerdekaan Malaysia," katanya.

amin iskandar article 291008 merdekaDakwanya, isu berkaitan sejarah kemerdekaan tidak akan selesai dan menuju titik kesudahan kerana kerajaan yang memerintah didakwa tidak ikhlas dan bersungguh-sungguh menyelesaikannya.

Hasbullah berkata, isu itu sebaliknya sentiasa dipergunakan untuk mempengaruhi, menakutkan dan mengancam rakyat supaya tidak menolak Umno dan BN.

"Umno/BN sentiasa memomokkan kepada rakyat bahawa hanya mereka sahajalah yang berjuang untuk kemerdekaan negara sedangkan sejarah yang sebenarnya menukilkan bahawa Umno adalah sebenarnya 'alat kepada penjajah'," dakwanya.

Menyentuh kenyataan kontroversi Mohamad sebelum ini, Hasbullah berkata, dewan itu yakin beliau mempunyai hujah serta fakta yang kukuh dan bertanggungjawab bagi mempertahankannnya.

Tiada ulasan: