KUALA SELANGOR – Kerajaan Negeri akan terus memastikan keadaan persisir pantai dan alam semula jadi di negeri ini terus terpelihara dan usaha memulihkan flora dan fauna serta alam semulajadi yang tercemar akan terus dilakukan.
Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, usaha pemeliharaan dan pemulihan patut dilakukan sekarang secara bersepadu di Selangor dan Malaysia amnya.
Berucap dihadapan peserta bengkel strategi pelan pengurusan bersepadu pantai (ICM) daerah Kuala Selangor dan pelancaran Tabung Amanah Pemuliharaan Kelip-Kelip Selangor di sini hari ini, Elizabeth berkata, kekayaan hasil semulajadi pantai dengan flora dan faunanya menyumbang kepada ekonomi para nelayan pesisir pantai.
Namun dengan adanya kepelbagaian konflik yang timbul hasil daripada pembangunan di sepanjang persisir pantai, perlu diwujudkan satu mekanisma yang dapat menguruskan di antara pembangunan dan alam sekitar secara mampan dan lestari.
Katanya, pelaburan alam sekitar bukan lagi perkara baru, bahkan telah diterima sebagai satu bentuk pelaburan masa kini dan akan datang yang mampu menjana perkembangan ekonomi yang lebih mantap, berdaya saing dan mampan.
“Masyarakat patut sedar betapa pentingnya menjaga alam sekitar di mana ia bermula dari dalam rumah, kemudian di sekeliling tempat kediaman dan seterusnya di persisir pantai dimana kebiasaannya aktiviti kekeluargaan diadakan.
“Pihak-pihak lain seperti pengilang juga perlu mempelopori dan mengguna pakai teknologi terkini dalam rawatan sisa buangan secara berpusat sebelum ia dialirkan ke sistem saliran,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan