Isnin, 21 Mac 2011

MB ajar cara baca akaun

SINAR HARIAN ONLINE


RAWANG – Penganalisa kewangan dijemput menghadiri perbincangan pada pembentangan isu akaun defisit RM7.41 juta anak syarikat Kerajaan Negeri, Yayasan Selangor, pada satu sesi Rabu ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, beliau akan menerangkan perkara sebenarnya yang berlaku kepada aset dan hasil Yayasan Selangor termasuk ke pihak media pada sesi yang akan diadakan selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri itu.

“Saya rasa ada pegawai kurang berpengalaman dari segi membaca akaun itu. Lagipun akuan itu sudah antara empat ke lima tahun lalu tidak diaudit sepenuhnya.

“Pihak media juga ada tidak tahu lihat akaun itu. Untuk itu, saya hendak ajar cara membaca akaun ini dan ambil tindakan supaya tidak jadi seperti (isu) skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ),” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian semasa majlis lawatan turun padangnya ke tapak projek pembangunan Saujana Rawang, di Pejabat Projek Saujana Rawang pemaju Glomac Berhad di Bandar Country Homes, di sini, semalam.

Menurutnya, pendedahkan laporan audit Yayasan Selangor itu disifatkan baru dan baik memandangkan perkara sedemikian cuba ditutup pihak pemerintah terdahulu.

“Dulu isu sebegini tidak diberitahu kepada orang lain, jadi tidak ada ketelusan. Berbanding sekarang, Pakatan Rakyat (PR) membenarkan maklumat (defisit) ini diberikan kepada masyarakat.

“Malah masyarakat terlibat mengenai perbincangan perkara tersebut dan apa berlaku boleh dipersoalkan oleh mereka. Jadi penyelewengan dapat dikurangkan.

“Berbanding isu PKFZ, masyarakat hanya tahu selepas penyelewengan berlaku. Tetapi Yayasan Selangor, kita rancang apa kita hendak buat dan beritahu sekarang,” katanya.

Abdul Khalid berkata, untuk itu pihaknya juga menjemput penganalisa kewangan menghadiri perbincangan akan diadakan dan hasil kajian dibentangkan kepada rakyat.

Sementara itu, mengulas lawatannya, Abdul Khalid berkata, ia adalah perjumpaannya dengan pembeli rumah berkenaan kelulusan pindah milik secara ‘Blanket Consent’.

“Pada hari ini (semalam) kita mengadakan majlis penyerahan kunci kepada tujuh pembeli awal daripada 33 pembeli telah berjaya menyelesaikan perkara-perkara berkaitan dengan dokumentasi.

“Pembelian rumah ini merupakan pelaburan besar dalam keluarga selain pembelian kenderaan dan pendidikan. Oleh itu Kerajaan Negeri sentiasa mengambil berat perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, isu pembangunan di kawasan tersebut ditangguhkan sehingga pemaju menyiapkan projek rumah kos rendah di perumahan sama mengikut skala ditetapkan, melibatkan lebih 100 pembeli.

Tiada ulasan: