KUCHING : Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor dan Pulau Pinang berbesar hati untuk menyumbangkan RM 80 ribu bagi membeli sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk kegunaan serta kemudahan komuniti Penan di Baram, Sarawak.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, sumbangan tersebut merupakan pelaburan terbaik untuk membantu pendidikan anak-anak kaum Penan yang sering dimarginalisasikan pentadbiran Umno-Barisan Nasional dan syarikat pembalakan kroni mereka.
"Sekarang kita melaburkan bantuan itu untuk pelaburan masa hadapan iaitu pendidikan anak-anak (Penan). Dan ia beri kesan baik kepada anda semua dan juga Pakatan Rakyat," Kata beliau dalam Majlis Pelancaran Kenderaan Komuniti Penan di Baram, Sarawak.
Kenderaan Pacuan 4 Roda jenis Mitshubishi Triton ini disampaikan kepada Peguam bagi Kumpulan Penyokong Penan (PSG) iaitu Baru Bian dan See Chee How serta beberapa wakil Penan dari Ulu Baram.
Menurut Khalid, hal ini penting kerana retaliasi dari syarikat pembalakan menyebabkan sistem pengangkutan bagi masyarakat Penan di situ lumpuh sekali gus menyukarkan masyarakat setempat untuk keluar dari kawasan penempatan mereka bagi mendapatkan keperluan harian juga ke sekolah.
Pada sumbangan tersebut kerajaan Selangor memberi bantuan RM 50 ribu dan RM 30 ribu lagi disumbangkan oleh Kerajaan Pulau Pinang yang menjadi lambang solidariti Pakatan Rakyat.
Jelas Khalid, beliau amat terharu dengan usaaha pembelian kenderaan itu.
Malah Khalid turut menawarkan RM 10 ribu lagi bagi tujuan penyelenggaraan kerana yakin masyarakat Penan memerlukan kepentingan itu dan berharap ia akan menjadi katalis perubahan masyarakat Sarawak.
"Saya tak sangka Menteri Besar Selangor yang akan buat kerja ini (beri bantuan). Ia sepatutnya dilakukan Ketua Menteri Sarawak."
"Perkembangan Sarawak bermakna peningkatan kualiti hidup rakyatnya dan bukan kerana Sarawak dimajukan dengan mengorbankan masyarakatnya. Saya bangga menjadi sebahagian daripada mereka," kata beliau.
Kerajaan Pulau Pinang yang diwakili Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jien pula menyifatkan bantuan ini menunjukkan betapa lemahnya Kerajaan BN Sarawak yang tidak mampu memberikan keadilan kepada rakyatnya sendiri.
"Bukan selalu Kerajaan Negeri mengeluarkan bantuan kewangan untuk bantu negeri lain.Penang ada limitasi dari segi sumber dan pendapatan, kurang dari Sarawak. Bagaimanapun, jenayah ini adalah jenayah kemanusiaan dan kita lihat Kerajaan Sarawak kurang proaktif dalam menghalang jenayah sebegini dari berlaku," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan