LANGKAWI - Sebuah syarikat agensi pelancongan di Moscow, Pegas Tour berminat untuk mengadakan penerbangan sewa khas terus dari bandar-bandar di Rusia ke Langkawi yang dijadualkan bermula September depan.
Ketua Penolong Pengurus Pelancongan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Azmil Munif Bukhari berkata, perancangan itu adalah hasil perbincangan awal antara syarikat itu dengan Lada dan Tourism Malaysia di Moscow semasa promosi pelancongan di bandar raya itu yang berakhir Isnin lepas.
“Syarikat terbabit mempunyai pesawat sendiri dan bercadang mengadakan tiga penerbangan seminggu ke Langkawi,” katanya kepada Bernama di sini hari ini. Beliau berkata syarikat berkenaan akan membuat tinjauan di Langkawi pada bulan Jun.
” Kita mengalu-alukan minat syarikat berkenaan untuk mengadakan penerbangan secara terus ke Langkawi,” katanya.
Azmil Munif yang menyertai promosi pelancongan ke Moscow itu berkata, penerbangan itu diharapkan dapat meningkat kehadiran pelancong Rusia ke pulau ini.
Katanya, rekod ketibaan pelancong Rusia ke Langkawi adalah lebih 24,000 pada tahun lepas.
Pada masa ini, syarikat penerbangan Finland, Finnair mengadakan penerbangan sewa khas sejak Disember lepas ke Langkawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan