Jumaat, 25 Jun 2010

Suami: ‘Sudah pasti saya, Maya Karin akan bercerai’



Muhammad Ali ketika hadir di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur semalam untuk mendaftar pengesahan pernikahan dengan Maya Karin, semalam.

KUALA LUMPUR — Muhammad Ali Abdullah, suami pelakon dan pengacara terkenal Maya Karin, hari ini mengesahkan pasangan tersebut sedang menuju proses mengakhiri rumah tangga mereka dengan usaha mendaftar penikahan berusia dua tahun semalam adalah langkah awal.

“Sudah pasti kami akan bercerai. Yang saya kata ‘tidak bercerai’ semalam bermakna kami tidak bercerai semalam, tetapi kami sudah pasti kami akan bercerai,” kata Muhammad Ali atau nama asalnya Steven David Shorthose kepada The Malaysian Insider hari ini.

Muhammad Ali memberitahu, oleh kerana pernikahan mereka yang berlangsung dua tahun lalu di Itali belum didaftarkan lagi, maka ia perlu disahkan sebelum mereka boleh bercerai secara rasmi.

“Permohonan cerai hanya akan dibuat selepas keputusan permohonan pengesahan pernikahan diketahui,” kata guru sekolah antarabangsa ini.

Keputusan itu dijangka diketahui pertengahan bulan depan.

“Tiada keputusan semalam, saya jangkakan dalam dua minggu lagi keputusan akan dikeluarkan,” kata beliau lagi.

Maya Karin, yang sejak awal tahun ini dikaitkan dengan desas-desus masalah rumah tangga, semalam muncul di Mahkamah Rendah Syariah di sini untuk membuat pengesahan nikah selepas dua tahun berkahwin dengan Muhammad Ali.

Kedua-dua mereka hadir di mahkamah semalam, tetapi secara berasingan. Malah mereka meninggalkan pekarangan mahkamah secara berasingan.

Semalam, seorang pegawai mahkamah memberitahu Maya Karin hadir di mahkamah untuk mengesahkan perkahwinan mereka.

“Selain itu, mereka juga tidak berbincang apa-apa mengenai penceraian. Jadi status mereka masih suami isteri,” kata pegawai mahkamah itu.

Awal tahun ini Maya Karin menafikan mereka akan bercerai.

Pasangan itu berkahwin pada 14 Ogos 2008 di Villa Corte de Lago, Itali.

Semalam, Maya Karin dan suaminya tidak memberi sebarang butiran lanjut mengenai kehadiran mereka di mahkamah.

“Tidak bercerai. Tanya Maya,” kata Muhammad Ali sebelum meninggalkan mahkamah.

Maya pada mula enggan bercakap kepada wartawan tetapi selepas diminta dia berbuat demikian.

Menurut Maya Karin, adalah lebih baik baginya tidak memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.

“Saya tidak mahu cakap apa-apa mengenai perkara ini, adalah lebih baik saya diamkan diri.

“Setakat ini saya berpuas hati dengan pertemuan tadi. Tiada keputusan yang dibuat,” katanya.

Akhir Februari lalu, Maya Karin berkata dia masih berusaha gigih untuk menyelamatkan rumah tangganya yang bergelora sambil mengakui ia berpunca daripada “kesilapan mereka sendiri.”

Maya Karin berkata dia dan suaminya amat bersykur sekiranya perkahwinan mereka dapat diselamatkan.

Pelakon filem “Pisau Cukur” keluaran tahun lalu pernah digosipkan dengan Remy Ishak yang berlakon bersamanya dalam teater “Natrah” akhir tahun lalu.

Mengenai hubungan Maya Karin dan Remy, Muhammad Ali memberitahu The Malaysian Insider, dia memang ada mendengar tentang persahabatan mereka sejak akhir tahun lalu.

“Saya memang ada mendengar persahabatan mereka hujung tahun lalu tetapi saya tidak bertemu dengan Remy... tetapi kalau ada peluang untuk bertemu, saya akan jumpa beliau dan berbual, tiada masalah,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Maya Karin ada berbual dengannya di mahkamah semalam, Muhammad Ali: “Tiada sebarang kata-kata, tiada helo, tiada apa...”

Tiada ulasan: