Selasa, 29 Jun 2010

Shaziman: Parlimen tidak akan dipindahkan

Hazlan Zakaria

Menteri Kerja Raya Shaziman Abu Mansor hari ini mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan tidak berniat untuk memindahkan Parlimen ke bangunan baru di Putrajaya.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan akan menaik taraf bangunan sekarang, dan dalam tempoh berkenaan, Parlimen akan bersidang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

"Kerajaan mahupun kabinet tidak pernah mengatakan bahawa kita akan memindahkan Parlimen ke Putrajaya. Kita tidak pernah menyatakannya," kata beliau menjawab soalan tambahan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) dalam ucapan penggulungan kementeriannya.

Jawapan Shaziman itu jelas bercanggah dengan jawatan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz pada 9 Jun lalu, yang menyatakan kabinet telah memutuskan untuk membina bangunan baru Parlimen dengan kos RM800 juta.

Kenyataan Mohd Nazri itu telah mencetuskan bantahan orang ramai ekoran nilai sentimental bangunan sedia ada dan juga kerana menggunakan wang pembayar cukai ketika kerajaan sedang cuba meyakinkan mereka supaya menerima pemotongan subsidi.

Shaziman berkata setakat ini, Jabatan Pekerjaan Umum (JKR) telah mencadangkan kepada kabinet supaya kerja pembaikan dijalankan ke atas bangunan sekarang dengan kos RM100 juta.

Katanya, JKR hanya memberitahu kabinet bahawa bangunan Parlimen, 'yang hampir seusia beliau dan mungkin sedikit lebih muda daripada Pokok Sena Mahfuz Omar', perlu diperbaharui, kerana ada beberapa kecacatan struktur.

Menurutnya, kerja menaik taraf yang dicadangkan itu akan memanjangkan usia bangunan Parlimen itu.

"Sama seperti kita, ketika menunjukkan wajah keriput, kita pergi dan melakukan facial (rawatan muka)," kata Shaziman.

Menurutnya, pemindahan sementara Parlimen adalah perlu kerana kerja menaik taraf yang membabitkan penggunaan jentera berat, serta bunyi bising.

Tiada ulasan: