Isnin, 28 Jun 2010

Khalid lepas jawatan kepada Azmin


1 Kha2lid Oleh Qayum Rahman


Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melepaskan jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR kepada Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali berkuat kuasa hari ini dengan alasan memberi fokus kepada pelaburan negeri berbanding isu-isu politik.

Khalid ketika Mesyuarat Pimpinan Pusat (MPP) PKR mengakui bahawa kepakaran beliau adalah dalam bidang pelaburan dan perdagangan negeri berbanding politik yang masih perlu diketengahkan.

Menurutnya, pengambil alihan jawatan oleh Azmin Ali akan memberi perubahan kepada kerajaan negeri Selangor untuk mengatasi kelemahan yang diwar-warkan supaya dapat diatasi dengan segera.

"Saya memberi kepercayaan kepada Azmin kerana beliau mempunyai ciri-ciri terbaik menjadi pengganti Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri.

"Saya yang mencadangkan kepada pimpinan pusat bahawa Azmin sepatutnya menjadi pengganti saya dan berharap beliau mampu melaksanakan tanggungjawab lebih baik.

Tambah beliau, perubahan yang dilakukan pada hari ini diterima baik oleh semua pucuk pimpinan pusat walaupun terdapat penafian perubahan dalam PKR sebelum ini.

Jawatan Pengerusi Majlis Wilayah Persekutuan PKR yang disandang oleh Azmin sebelum ini diberikan kepada Biro politik PKR Datuk Zaid Ibrahim berkuat kuasa serta-merta.

Perlantikan jawatan tersebut diumumkan oleh Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail selepas bermesyuarat bersama pemimpin-pemimpin PKR pusat di Quality Hotel Shah Alam hari ini.

Wan Azizah turut mengumumkan perlantikan baru Badrul Amin Baharum sebagai Pengarah Penerangan di pejabat Menteri Besar Selangor untuk membantu mengukuhkan pentadiran kerajaan negeri.

Manakala dua pegawai khas baru juga dilantik untuk membantu perhubungan negeri Selangor dalam merancang perubahan pentadbiran negeri menjadi lebih teratur.

Sementara itu, bercakap mengenai pencabar kerusi presiden PKR nanti, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mungkin tidak akan bertanding merebut kerusi tersebut kerana ingin memberi peluang kepada Wan Azizah dan pemimpin lain untuk bertanding.

"Saya tidak akan bertanding merebut kerusi bersama isteri kerana lebih baik memberikan peluang tersebut kepada mereka yang mampu menonjol untuk menjawat jawatan tersebut.

"Kerusi Presiden PKR sentiasa terbuka kepada mana-mana pemimpin PKR yang ingin bertanding kerana kita bukannya seperti BN yang menghadkan kerusi tertinggi kepada individu tertentu," katanya yang mempengerusi mesyuarat MPP.

Anwar berkata, rombakan yang dicapai pada hari ini adalah jalan terbaik daripada PKR untuk mempergilapkan lagi masa depan menuju pilihan raya ke-13 bagi menakluki Putrajaya.

"Kita melakukan perancangan awal untuk memperkukuhkan lagi pemilihan parti bagi calon yang sesuai diletakkan bertanding dalam pilihan raya ke-13 nanti.

"PKR jangka akan wujud pilihan raya lebih awal kali ini dan harus bersiap sedia untuk memenangi lebih kerusi berbanding sekarang," jelasnya.-

Tiada ulasan: