Isnin, 28 Jun 2010

Pukul Isteri: Kes Badrul Muhayat Disebut Semula12 Julai

KUALA LUMPUR: Kes pelakon dan bekas model, Badrul Muhayat Ahmad Jailani, yang menghadapi pertuduhan mencederakan isterinya, akan disebut semula di Mahkamah Majistret Ampang di sini, pada 12 Julai depan.

Majistret Wan Karimah Wan Abdul Ghani menetapkan tarikh itu selepas peguam Abdul Rashid Tasin, yang mewakili Badrul Muhayat (gambar) memohon tarikh baru untuk anak guamnya berbincang dengan pengadu yang juga isterinya, Julia Daud untuk mencari penyelesaian berhubung kes berkenaan.

Sebelum itu, Badrul Muhayat, 42, yang berkemeja biru mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencederakan isterinya selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan pindaan terhadapnya.

Pengakuan itu dibuat selepas Timbalan Pendakwa Raya Nor Husnita Mohd Radzi memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah menerima arahan dari Pejabat Timbalan Pendakwa Raya yang diwakili Ketua Unit Jenayah Am dan Seksual Bahagian Pendakwaan, Shahidani Abd Aziz untuk mengemukakan pertuduhan pindaan itu.

"Pindaan pertuduhan itu telah dibuat pada 14 Jun lepas dan mengikut pindaan tersebut, pertuduhan kedua yang dihadapi oleh tertuduh ditarik balik berikutan terdapat transaksi ataupun perlakuan yang sama dengan pertuduhan pertama dan masa, tempat dan pengadu juga adalah sama," katanya.

Nor Husnita berkata, oleh kerana kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut seksyen yang sama iaitu Seksyen 323 Kanun Keseksaan, pihaknya telah meminda pertuduhan tersebut.

Mengikut pertuduhan pindaan itu, Badrul Muhayat didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Julia, 29, dengan menumbuknya di muka, menendang di perut dan memukulnya dengan menggunakan batang penyapu di punggung dan kaki di rumah mereka di Kampung Cheras Baru, Hulu Langat, pada 7 pagi, 24 Mac lepas.

Pelakon tersebut didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun dan denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pada 6 April lalu, Badrul Muhayat dihadapkan ke Mahkamah Mahkamah Majistret Ampang di sini atas dua pertuduhan mencederakan isterinya. Pelakon itu yang mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan tersebut dan diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Tiada ulasan: