Rabu, 30 Jun 2010

Usul Tergempar Scorpene Ditolak Parlimen

TV SELANGOR


Usul tergempar mengenai skandal pembelian peralatan senjata kapal selam KD Tunku Abdul Rahman oleh Ahli Parlimen Batu, Tian Chua ditolak Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dengan alasan perkara itu sedang dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Tian Chua dalam sidang medianya di lobi parlimen menyatakan penghargaan terhadap speaker kerana memberitahu sidang parlimen bahawa kes itu sudah diambil tindakan oleh SPRM.

Sebelum ini SPRM berdolak dalik ketika digesa Pakatan Rakyat supaya menyiasat kemungkinan terdapat penyelewengan dalam pembelian kapal selam buatan Perancis itu.

“Kita mahu mengucapkan terima kasih kepada speaker kerana telah memaklumkan kepada kita bahawa kes ini sedang dalam siasatan. Kita tidak diberitahu pun sudah ada siasatan dibuat,” kata Tian.

Menurutnya, Pakatan Rakyat mengalu- alukan tindakan SPRM menyiasat kes yang menarik perhatian bukan sahaja rakyat Malaysia tetapi juga masyarakat antarabangsa.

Tian mengesyorkan SPRM menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Perancis dalam usaha untuk mendapatkan lebih banyak maklumat serta bahan- bahan rujukan.

Beliau juga menawarkan diri untuk membantu mengadakan jalinan kerjasama antara SPRM dengan kerajaan Perancis.

“Jika perlukan bantuan, saya sedia membantu SPRM untuk mengadakan kerjasama dengan kerajaan Perancis dan saya sedia membantu mencari maklumat yang SPRM inginkan,” ujarnya.

Tiada ulasan: