Isnin, 28 Jun 2010

Nasib Jambatan Ganti Tambak Johor Sukar Diramal

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Demikian respon beliau selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mahu Kerajaan Pusat mempertimbangkan semula pembinaan jambatan itu.

Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor Demikian respon beliau selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar mahu Kerajaan Pusat mempertimbangkan semula pembinaan jambatan itu.

Kerajaan sebelum ini tidak pernah menentang rancangan untuk membina jambatan bagi menggantikan tambak itu, malah Kabinet juga tidak pernah membuat keputusan bahawa tambak itu tidak akan digantikan dengan jambatan.

Malaysia pernah memutuskan akan meneruskan cadangan membina jambatan bagi menggantikan jambatan itu tanpa menunggu kata putus daripada Singapura bagi melengkapkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (QIC).

Bagaimanapun, tindakan itu menyebabkan Singapura menghantar nota bantahan pihak ketiga bagi mendapatkan penjelasan mengenai tindakan Malaysia.

Jambatan yang sepatutnya dibina oleh kontraktor, Gerbang Perdana Sdn Bhd itu membabitkan peruntukan lebih RM600 juta sepatutnya siap pada tahun 2009.

Bagaimanapun, yang menjadi halangan untuk membina jambatan apabila Singapura mahu menetapkan syarat supaya Malaysia menjual pasir dan penggunaan ruang udara.

Tidak keterlaluan jika syarat penjualan pasir sebanyak 50 juta tan metrik setahun selama 20 tahun untuk kerja penambakan di negara itu dianggap melampau.

Kedua-dua ‘permintaan’ itu merupakan sesuatu yang sukar diterima pakai sekiranya menilai dari aspek politik yang hanya mewujudkan ketegangan antara kedua negara.

Tidakkah mereka terfikir bahawa pembinaan jambatan ganti yang dirancang oleh Malaysia bukan ‘syok sendiri’, tetapi mewujudkan situasi menang-menang kepada kedua pihak.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa projek itu bertujuan membina sebuah jambatan, maka sudah tentu ia memudahkan hubungan antara kedua negara.

Walaupun beberapa siri rundingan dilakukan bersama Singapura, namun mereka masih tidak berpuas hati dengan keputusan Malaysia meneruskan pembinaan jambatan baru.

Hendak buat macam mana sekiranya ketegasan itu adalah sikap Singapura sejak dahulu yang sukar memberikan kerjasama dalam banyak perkara.

Dilema ini menimbulkan kebuntuan sehingga Kabinet terpaksa membatalkan keputusan untuk membina jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Maka tidak hairanlah ia terus berlarutan dari zaman kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamed (kini Tun) dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun).

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Mohammad Agus Yussoff berkata, keputusan Najib untuk mengkaji semula rancangan asal pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor amat dipersetujui.

Bagaimanapun beliau berkata, perkara itu perlu dibentangkan di Parlimen bagi mengelakkan sebarang masalah berbangkit antara parti-parti politik.

“Ini bukan sekadar keputusan pentadbiran, tetapi pandangan dua hala yang memerlukan ketelusan tanpa mencetuskan sebarang provokasi atau bantahan.

“Kerajaan perlu memberi ruang kepada rakyat untuk bersuara kerana rancangan ini merupakan kepentingan untuk rakyat juga,” katanya kepada mStar Online ketika dihubungi.

Mohammad Agus menyifatkan pembentangan itu merupakan satu pendekatan yang baik dan perlu dilakukan secara teliti bagi memberi keseimbangan dalam pelaksanaan kelak.

Beliau tidak menafikan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor itu melibatkan Singapura, namun katanya, itu adalah soal kedua.

“Apa yang lebih penting adalah reaksi dalaman di kalangan rakyat dan pembangkang selain kerajaan. Jika baik pandangannya, maka baiklah keputusannya.

“Langkah bijak dan adil ini pasti tidak timbul sebarang sensitiviti. Jika tidak, ia hanya merugikan rakyat dan negara,” ujarnya.

Mengenai sikap tegas Singapura sebelum ini bakal melihat kegagalan berulang, Mohammad Agus menjelaskan, senario kini banyak berbeza, bukan seperti dahulu.

Menurut beliau, Malaysia banyak bertolak-ansur dengan Singapura dalam banyak perkara dan ini sudah menunjukkan persefahaman negara terhadap negara jiran.

Hubungan dua hala memerlukan ‘give and take’, maka terdapat kemungkinan Singapura akan mempertimbangkan rancangan Malaysia meneruskan pembinaan jambatan ganti.

Cabaran besar di sini adalah kos pembinaannnya kerana kerajaan perlu melihat sama ada pembinaan jambatan ganti ini benar-benar memberikan keuntungan kepada rakyat.

“Kajian semula yang dinyatakan Najib itu amat bertepatan. Apapun, kerajaan seharusnya tidak melupakan majoriti rakyat sebagai aspirasi dalam menilai keputusan itu,” katanya.

Kini Najib pula menyambung legasi bagi rancangan berkenaan bagi merealisasikannya.

Adakah Najib bakal mengubah keputusan dan melembutkan sikap ‘degil’ Singapura menerusi corak pemerintahan beliau, itu mungkin juga akan ‘dikaji semula’.

Dengan tindakan itu, semoga keputusan akhir akan mendapat persefahaman kedua-dua negara demi keperluan dan kepentingan rakyat masing-masing.

Ini sejajar dengan konsep 1 Malaysia yang telah diperkenalkan Najib, ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’.

Bagaimanapun setakat ini belum ada ulasan lanjut mengenainya, namun sudah dinyatakan bahawa beliau akan mengkaji semula terhadap rancangan asal berkenaan.

Pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor merupakan antara projek infrastruktur yang diperuntukkan kepada Johor dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Peruntukan berjumlah RM10.2 bilion itu adalah bagi membangunkan Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) yang meliputi kawasan segi tiga Mukim Serkat-Kulai-Johor Bahru.

Najib sudah pun membentangkan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) pada 10 Jun lalu dan kajian semula terhadap rancangan asal membina jambatan bagi menggantikan Tambak Johor diteruskan.

Pun begitu, nasib jambatan ganti tambak itu masih sukar diramal dan sudah pasti banyak cakap-cakap akan membuat pelbagai reaksi, andaian mahupun spekulasi.

Apapun, rentetan dari kegagalan dan kemelut yang berlaku ini diharapkan kajian semula yang dibuat oleh kerajaan kelak dapat menemukan jalan penyelesaian.

Tiada ulasan: