Selasa, 29 Jun 2010

Americk: SPRM benar Bala ditemani peguam 5 Julai



KUALA LUMPURn — Detektif persendirian P Balasubramaniam dipercayai akan dibenar ditemani peguamnya ketika diambil keterangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di London awal minggu depan berhubung dakwaan maklumat terbaru berkaitan kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Dalam surat yang dihantar kepada pegawai penyiasat kes Balasubramaniam, peguam detektif persendirian itu Americk Sidhu berkata, beliau difahamkan SPRM telah bersetuju untuk membawa bersama peguamnya.

Salinan surat yang dihantar kepada pegawai penyiasat SPRM Penguasa Abdul Rahman Bachok turut dipanjangkan kepada The Malaysian Insider.

Dalam surat itu Americk mendakwa walaupun pegawai berkenaan sebelum ini menyebut yang peguam Balasubramaniam tidak akan dibenar hadir bersama, tetapi pegawai kanan suruhanjaya telah memberi “lampu hijau” membenarkan peguam pilihan dibawa bersma.

Americk berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehnya SPRM akan membenarkan seorang peguam mengiringi Balasubramaniam pada sesi diambil keterangan kelak.

“Anda (Abdul Rahman) membayangkan dalam surat bertarikh 21 Jun lalu bahawa protokol SPRM tidak membenarkan kehadiran peguam ketika pegawai SPRM mengambil keterangan daripada saksi.

“Kami ingin memaklumkan bahawa kami tidak bersetuju dengan pandangan anda memandangkan pelanggan saya mempunyai hak di bawah perlembagaan untuk memiliki seorang peguam pilihannya ketika diambil keterangan dan ini akan mengatasi apa jua protokol yang pejabat anda amalkan,” katanya.

Selain itu kata Americk, pihaknya juga gembira dengan maklumat terbaru ekoran jaminan Pengarah Siasatan Mustafar Ali, sebagaimana disiarkan dalam media baru-baru ini bahawa seorang peguam akan dibenarkan pada 5 Julai ini.

“Oleh itu kami akan menunggu kehadiran anda (SPRM) di London pada 5 Julai ini,” kata Americk dalam surat itu.

Oleh itu kataya, Balasubramaniam akan membawa kesemua dokumen berkaitan untuk tujuan memberi keterangan kepada SPRM pada tarikh berkenaan.

Kelmarin Americk memberitahu The Malaysian Insider bahawa SPRM akan menemui Balasubramaniam minggu pertama bulan depan, tetapi sama sekali tidak membenarkan peguamnya hadir sama.

SPRM akan menemui Balasubramaniam di London pada 5 Julai ini.

Americk berkata, pihaknya kini di peringkat akhir perundingan dengan SPRM.

“Semua sudah dibincangkan kecuali SPRM tidak mahu membenarkan peguam kami untuk hadir sama apabila mereka menemu bual subjek (Balasubramaniam).

“Kami tidak bersetuju dengan ini, dan kami akan mengetahui hasilnya minggu depan,” kata Americk lagi.

Tiada ulasan: