Isnin, 28 Jun 2010

Rayuan Bung Moktar disebut 1 Julai

SHAH ALAM – Rayuan Bung Moktar Radin untuk mengetepikan hukuman penjara sebulan bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran akan disebut di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 1 Julai ini.

Ketua Pendaftar, Zainor Rashid Hassin menetapkan tarikh tersebut bagi pihak-pihak berkenaan memfailkan semua dokumen yang berkaitan sebelum rayuan itu didengar.

Dalam prosiding hari ini, peguam syarie Amli Embong yang mewakili Ahli Parlimen Kinabatangan itu memaklumkan pihaknya telah menyerahkan salinan rekod rayuan kepada pihak pendakwaan.

Amli juga memohon diberikan masa untuk menyediakan dokumen-dokumen lain termasuk kronologi kes dan ringkasan hujahan.

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor, Zusyarafain Md. Yusof yang mengesahkan perkara itu tidak membantah tarikh sebutan ditetapkan.

Bung Moktar, 51, yang hadir bersama seorang rakan pada pukul 10.30 pagi sempat berbual dengan petugas media mengenai perkembangan bola sepak Piala Dunia sebelum prosiding bermula.

Beliau mengemukakan rayuan pada 25 Mei lalu setelah tidak berpuas hati dengan hukuman penjara sebulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat dekat sini pada 19 Mei lalu.

Bung Moktar turut didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana bersubahat dengan isteri keduanya, Zizie Izette Abdul Samad, 32, untuk bernikah tanpa kebenaran pendaftar nikah, cerai dan rujuk.

Zizie pula didenda RM2,000 atau penjara tujuh bulan atas dua tuduhan bernikah tanpa kebenaran pendaftar dan bersubahat dengan suaminya itu berpoligami tanpa kebenaran mahkamah.

Pasangan itu bernikah di rumah Bung Moktar di No. 12, Jalan TC 2B/3, Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak di sini, pada pukul 8.50 malam, 16 Disember lalu, dengan mas kahwin RM80, wang hantaran RM31,000 dan sebentuk cincin berlian serba satu untuk Zizie.

Namun begitu Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur pada 12 Jun lalu bagaimanapun memutuskan pernikahan pasangan itu yang berlangsung pada 9 Jun lalu di rumah Zizie No. 6, Jalan Setiawangsa 6, Taman Setiawangsa Kuala Lumpur adalah sah dan memerintahkan ia didaftarkan

1 ulasan:

ghostWRITER berkata...

kes bong..biarlaaa.. dia dah kahwin..Apa cerita Wayang Kulit Azmin/Khalid - 'Hero'nya Anwar Ibrahim ? Betul ker?