Rabu, 30 Jun 2010

Jadi penceramah buruan selepas digelar ulama muda Umno

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Baru minggu lepas, Ustaz Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid, 27 tahun, digelar salah seorang dari 40 ulama muda yang menyertai Umno.

Kini, Mohd Hosni (gambar) adalah antara penceramah yang top di dalam PAS dan Pakatan Rakyat. Hampir setiap malam beliau mendapat undangan untuk memberikan ceramah di seluruh negara.

Malam tadi beliau bersama dengan Haji Mohamad Sabu berceramah... dan malam ini beliau akan ke Klang pula. Esok dan lusa beliau akan ke Johor dan Melaka untuk memberikan ceramah.

Semuanya kerana gelaran ulama muda yang diberikan oleh Umno kepada beliau dan 39 yang lain.

"Saya sebenarnya rasa tertipu dengan apa yang berlaku....itulah yang saya terangkan di setiap kali ceramah saya," kata Mohd Hosni ketika datang berkunjung ke pejabat Harakahdaily.

Mohd Hosni bersama tiga rakannya yang belajar di Universiti Al Albyt, Jordan adalah antara mereka yang bersama dalam majlis menyerahkan borang menyertai Umno oleh 40 ulama muda kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Keempat-empat mereka diperdaya oleh ayah kepada salah seorang rakan mereka kononnya Perdana Menteri mahu berjumpa dengan bekas pelajar Jordan.

"Jadi, pada saya apa salahnya berjumpa dengan Perdana Menteri," kata Mohd Hosni yang kini menjadi tenaga pengajar di Maahad Tahfiz Intergrasi dan Teknologi Selangor yang terletak di Klang.

Mereka diberitahu pertemuan akan diadakan di Hotel Legend yang terletak di seberang jalan bangunan Umno.

Namun, apabila sampai ke hotel itu, beliau dan rakan-rakan di bawa turun dengan eskalator dan seterusnya menyeberang jalan ke bangunan Umno dan di bawa masuk ke dalam satu dewan.

Di sana sudah ada ramai orang yang kelihatan macam orang PAS, orang Tabligh dan sebagainya berdasarkan pakaian mereka.

"Jadi saya senang hatilah," kata Mohd Hosni lagi. Namun tidak lama kemudian, kesemua mereka disuruh berbaris kerana PM sudah mahu sampai.

Lalu mereka berbaris menyambut ketibaan PM dengan dihujani oleh lampu flash juru gambar yang memenuhi majlis itu.

Selepas itu, Datuk Seri Shahidan menyerahkan satu sampul surat kepada PM dan memberitahu itu adalah borang-borang permohonan menyertai Umno dari 40 ulama muda yang ada dalam majlis itu.

Najib tanpa bercakap apa-apa terus meninggalkan majlis selepas itu dan Shahidanlah yang mengendalikan sidang akhbar selepas itu.

Mulai dari situ, barulah Mohd Hosni dan tiga rakannya lagi sedar bahawa mereka telah tersalah tempat dan terpedaya kerana bukanlah hajat mereka mahu menyertai Umno.

Namun, kesan dari situ, Mohd Hosni kini menjadi buruan majlis-majlis ceramah Pakatan Rakyat khasnya majlis ceramah PAS.

Nama beliau dan isu ulama muda menyertai Umno menjadi pelaris kepada majlis ceramah PAS kerana orang ramai ingin tahu apa sebenarnya yang berlaku di majlis itu.

Bersalam dengan PM

Sementara Mohd Husni menolak beliau datang ke PWTC untuk bersalam dengan Perdana Menteri.

“Tentang hendak bersalam dengan Najib, adalah lebih munasabah saya pergi ke Kelantan bersalaman dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, itu lebih baik dari bersalaman dengan orang yang didakwa,” jelas Mohd Husni.

Ini susulan respons Umno menafikan empat pelajar lulusan Jordan tidak dijemput menghadiri majlis 40 ulama muda menyertai parti itu Jumaat lalu, sebaliknya hanya dijemput oleh orang kuat Umno disifatkan sebagai amat melucukan.

Beliau juga menolak dakwaan mereka beria-ia untuk hadir ke situ untuk bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, satu malam sebelum itu, seorang orang kuat Umno telah memujuk beliau untuk menyertai Umno dan mengajak hadiri majlis tersebut dan kebetulan merupakan bapa kepada kawan rapatnya, beliau tidak dapat menolak jemputan itu.

“Logiknya bagaimana kami boleh hadir jika tidak mendapat sebarang jemputan malah cara masuk juga ditipu, dari bangunan sebelah Mall, naik escalator, turun tangga, tiba-tiba muncul di Bangunan Umno.

Beliau yang sebelum ini mendedahkan penipuan Umno ini di dalam majlis Pentas Pemuda anjuran Dewan Pemuda PAS Shah Alam di TTDI, dekat sini menyatakan, mereka dijemput datang ke majlis itu kerana Perdana Menteri hendak bertemu dengan lulusan Jordan.

Dalam pada itu, Hosni berkata, beliau mendapat maklumat terdapat seorang lagi lepasan Madinah yang dijemput ke majlis berkenaan kerana terdapat majlis diskusi sebaliknya yang berlaku adalah penyerahan borang menyertai Umno oleh beberapa orang yang digelar sebagai sebagai ulama muda yang ‘ori’.

Katanya, seorang di Perlis, Ustaz Abdul Wahab Abdullah berkata, beliau hadir untuk bertemu dengan perdana menteri bagi membersihkan nama kumpulan mereka yang dikaitkan dengan keganasan.

“Terbukti Umno menggunakan banyak cara untuk menarik ulama muda menyertai mereka kerana jika untuk alasan biasa pasti mereka tidak didekati, lalu mereka gunakan berbagai cara,” ujarnya.

Menjawab hasrat mereka untuk membuat laporan polis terhadap penafian beliau yang disiarkan oleh Harakahdaily, dua hari lalu, Hosni bersetuju, artikel tersebut langsung tidak menyebut nama orang berkenaan.

Tiada ulasan: