KUALA LUMPUR — Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali sekali lagi mempertikaikan kepimpinan Khairy Jamaluddin dengan berkata, beliau sebenarnya “bangga dengan label jaguh politik kampung” yang diberikan oleh ketua Pemuda Umno itu berhubung isu membela ketua Pemuda MCA dalam isu biasiswa.
“Saya bangga kerana dipanggil jaguh kampung... sekurang-kurangnya saya dekat dengan rakyat, bermakna (saya) barang ‘asli’.
“Sebab itu, saya boleh menghayati perjuangan nenek-moyang dan kasih pada bangsa begitu tebal serta memahami sejarah,” kata Ibrahim dalam respons balas kepada kenyataan Khairy semalam, yang menyifatkannya sebagai jaguh kampung kerana mendesaknya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Rembau.
“Saya adalah seorang jaguh kampung macam lembu jantan berani berjuang... apa yang datang di depan saya, saya akan lawan habis,” kata Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas ini.
Ibrahim mendakwa orang Melayu berharap hanya Mara yang dapat membantu mereka dalam meningkatkan taraf hidup mereka.
“Orang kampung hanya mengharapkan pada Mara... sebab itu saya bangga menjadi jaguh kampung,” kata beliau lagi.
Dalam kenyataan balas semalam, Khairy menyifatkan Ibrahim sebagai “ahli politik jaguh kampung” yang tiada hak sama sekali untuk mendesaknya berhenti sebagai wakil rakyat hanya kerana membela Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong.
Khairy yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata, Ibrahim tidak layak memintanya berhenti sebagai wakil rakyat kerana “beliau bukan merupakan pengundi kawasan Rembau atau (sekurang-kurangnya) ahli Umno.”
Ibrahim menggesa Khairy meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat atas alasan kepimpinannya telah “menggadaikan maruah bangsa” semata-mata kerana mempertahankan Ketua Pemuda MCA dalam isu biasiswa.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Perkasa, Syed Hassan Syed Ali pula mempertahankan ketua mereka dengan berkata sama ada suka ataupun tidak Ibrahim sebenarnya merupakan “jaguh kampung” yang dihormati bukan sahaja di negara ini, tetapi turut dikenali di peringkat antarabangsa.
“Sebagai jaguh kampung beliau bukan sahaja selalu di depan dalam mengetengahkan isu-isu domestik, malah di peringkat antarabangsa misalnya polemik Allah dalam menulis surat kepada Pope Benedict dan juga apabila ahli-ahli Parlimen Australia campur tangan dalam kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau.
Oleh itu kata beliau, “kami tidak kecewa dengan kenyataan Khairy, sebaliknya bangga dengan apa yang dilakukan oleh Ibrahim dalam memperjuangkan isu orang Melayu.”
“Ketua Pemuda Umno (sekarang) tidak sehebat ketua Pemuda Umno dulu. Ketua Pemuda sekarang lebih suka menonjolkan diri,” katanya.
Syed Hassan berkata kemenangan ketua Pemuda Umno yang ada sekarang juga sebenarnya tidak diiktiraf oleh majoriti Pemuda Umno.
Khairy dipilih pada pemilihan Umno Mac 2009.
“Semakin ramai orang Melayu terutamanya dari ahli Umno menyertai Perkasa sekarang adalah kerana orang macam Khairy masih berada dalam Umno yang menampakkan Umno tidak memperjuangkan kepenting orang Melayu lagi,” katanya.
Perkasa akan melancarkan Perkasa cawangan Rembau bulan depan, kata Syed Hassan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan