Parti Keadilan Rakyat, Cabang Kuala Selangor menyatakan muafakat sokongan kepada Abdul Khalid Ibrahim untuk terus menerajui kepimpinan selaku Menteri Besar Selangor.
Kami juga menolak kenyataan yang dikeluarkan oleh sebahagian bekas ahli jawatankuasa PKR yang membuat kenyataan media agar mendesak Khalid (gambar kiri) mengundur diri adalah tidak perlu dilayan. Ini kerana mereka langsung tidak mewakili suara-suara kepimpinan Cabang dan juga akar umbi.
Kami juga mewakili suara akar umbi Parti Keadilan Rakyat di Cabang Kuala Selangor menyatakan tekad kami dan taat setia kepada agenda perjuangan Parti Keadilan Rakyat dan akan terus memastikan agenda kepentingan Parti Keadilan Rakyat sentiasa didukung oleh rakyat.
Kami menegaskan menyokong kepimpinan Abdul Khalid Ibrahim yang mempunyai daya kepimpinan dan pengurusan negeri yang berintegriti, bebas rasuah dan professional.
Kami juga menyatakan dukungan dan sokongan mantap kepada Khalid Ibrahim untuk terus membawa agenda perubahan dan keadilan di Selangor. Kami menolak sebarang cubaan dan komplot untuk menjatuhkan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
Kami juga menyatakan harapan besar rakyat Selangor untuk memastikan individu yang mempunyai gaya kepimpinan seperti Abdul Khalid Ibrahim berkeupayaan memenuhi aspirasi rakyat Selangor yang mengharapkan kepimpinan yang berbeza.
Kami akan terus bersama-sama Abdul Khalid memberikan sumbangan idea dan tenaga bagi memastikan agenda perubahan dan keadilan di Selangor yang menjadi harapan baru rakyat mampu direalisasikan dan diterjemahkan.
Justeru kami semua selaku kepimpinan dan anggota Parti Keadilan Rakyat di Cabang Kuala Selangor dan seluruh Ranting-Ranting menyatakan sokongan mantap kami kepada Khalid selaku Menteri Besar Selangor.
Akhirnya, kami berkeyakinan tinggi untuk lebih bekerja keras dan berusaha bagi memastikan agenda perjuangan rakyat terus dinobatkan di Selangor sebagai negeri idaman, berkebajikan dan madani.
*Kenyataan media oleh Mohd Ezli Mashut selaku Ketua Penerangan Cabang Kuala Selangor Parti Keadilan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan