Isnin, 28 Jun 2010

Industri perikanan rugi sekitar RM1b setahun akibat nelayan asing

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Industri perikanan negara mengalami kerugian sekitar RM1 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharom.

Beliau berkata walaupun jumlah kerugian sebenar akibat tindakan itu tidak diketahui dengan tepat, jumlah yang dinyatakan adalah berdasarkan rekod dan pemerhatian Jabatan Perikanan serta laporan daripada nelayan tempatan.

Bagi mengatasi isu pencerobohan nelayan asing yang merugikan negara, kerajaan mempertingkatkan pengawasan di laut dan udara dengan penglibatan pelbagai agensi penguatkuasaan maritim negara, katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) mengenai jumlah kerugian yang dialami industri pertanian negara akibat penangkapan ikan secara haram daripada kapal nelayan asing yang tidak berdaftar.

Mohd Johari berkata selain operasi bersama melibatkan agensi penguatkuasaan yang dijalankan empat kali setahun, kementerian juga bekerjasama dengan pihak yang mengendalikan pelantar minyak dan nelayan tempatan untuk mendapatkan maklumat mengenai penglihatan dan pencerobohan kapal nelayan asing.

Mengenai bentuk pencegahan yang dilakukan Jabatan Taman Laut Malaysia dalam mengawal pulau yang diwarta sebagai Taman Laut, beliau berkata antara langkah yang diambil ialah menjalankan penguatkuasaan terhadap pencerobohan bot menangkap ikan di kawasan Taman laut serta melarang penggunaan senjata seperti senapang angin, serampang dan kelengkapan melembing ikan.

“Dalam usaha melindungi pulau-pulau yang diwartakan, JTLM juga menjalankan program yang melibatkan komuniti seperti program ‘Green Fins’ di Pulau Payar, Kedah dengan mewujudkan jaringan pengusaha selam skuba dan penyelam skuba yang mesra persekitaran,” katanya. — Bernama

Tiada ulasan: