Isnin, 28 Jun 2010

Bala Tolak Syarat SPRM Tidak Benarkan Peguam Pada Sesi Soal Siasat

Oleh Dzulkarnain Taib


SHAH ALAM - Americk Sidhu, peguam kepada penyiasat persendirian, P Subramaniam berkata beliau menolak syarat yang dikenakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang tidak membenarkan kehadiran peguam semasa sesi soal siasat yang dicadangkan SPRM di London bulan depan.

Dalam satu emel yang dihantar kepada Suara Keadilan, Americk berkata pegawai penyiasat SPRM, Abdul Rahman Bachok memberitahu beliau melalui surat bertarikh 21 Jun 2010 bahawa agensi tersebut tidak membenarkan kliennya membawa peguam ketika memberi keterangan.

"Saya ingin memaklumkan bahawa pihak kami tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan. Ini kerana klien saya mempunyai hak seperti mana yang ditetapkan Perlembagaan untuk mempunyai peguam ketika disoal siasat dan hak ini mengatasai mana-mana protokol yang dirumus oleh pihak SPRM.

"Walau bagaimanapun Pengarah Penyiasatan SPRM, Mustafar Ali akhirnya telah berbesar hati untuk membenarkan kehadiran peguam semasa soal siasat seperti yang dilaporkan dalam artikelThe Star bertarikh 26 Jun 2010," kata Americk.

Menurut Americk Bala dijadualkan memberi keterangan pasukan penyiasat SPRM di Holiday Villas, Leinster Gardens, Bayswater, London pada 5 Julai depan pukul 10.00 pagi.

"Kami juga ingin memaklumkan bahawa Bala akan membawa bersama beliau semua dokumen berkaitan yang kena mengena dengan kes siasatan," jelas beliau lagi dalam emel.

Tiada ulasan: