Isnin, 28 Jun 2010

KDN LARANG JUAL BUKU IC PALSU?





Oleh: HAFIZ JAMAIL


SETELAH sebelas tahun berlalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sebelum ini didesak hampir kesemua Ahli Parlimen Sabah yang ‘ada maruah’ mula menggelabah dan mengeluarkan larangan kepada kedai buku agar tidak menjual buku IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah yang diterbitkan pada 1999.

Penulis buku IC Palsu, Mutalib M.D mendedahkan larangan berkenaan setelah menerima surat yang diberikan oleh salah sebuah outlet yang menjual bukunya yang memaklumkan bahawa pihak KDN telah memberi Amaran Akhir mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin cetak dan Penerbitan 1984 (Pindaan) 1987.

“Ketika itu saya berada di pedalaman Sabah dan pengedar tidak dapat menghubungi saya. Mengikut notis yang disampaikan kepada saya, KDN datang memberi notis amaran terakhir agar tidak menjual buku IC Palsu,” ujar Mutalib yang kesal kerana sebelum ini Mantan Menteri Dalam Negeri, Syed Hamid Albar telah mengumumkan di Parlimen pada 18 November 2008, bahawa pihak polis telah mengakui bahawa mereka sedar akan wujudnya buku berjudul “IC Palsu Merampas Hak Anak Sabah” yang diterbitkan oleh Mutalib MD.

Berdasarkan pengakuan pihak polis, menteri berkenaan (Hamid) mengatakan bahawa “pihak polis tidak pernah menyiasat dakwaan-dakwaan yang dibangkitkan dalam buku berkenaan, namun boleh dijual kepada umum.”

Tetapi apabila Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Wilfred Mojilip Bumburing mengemukakan soalan lisan (biasanya dikemukakan sebulan lebih awal) di Dewan Rakyat pada 16 Jun 2010 kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien yang diminta mengulas keterangan selanjutnya mengenai kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara bahawa ‘tiada MyKad telah diberi kepada pendatang haram’ sedangkan adalah menjadi fakta dengan bukti bahawa beribu pendatang haram di Sabah telah memperolehi kad kerakyatan; KDN bertindak menyerbu outlet yang menjual buku berkenaan tanpa sebarang perintah mahkamah sehari sebelum soalan berkenaan dijawab secara bertulis (kerana masa soal jawab terhad).

Menurut Mutalib, beliau sedar di bawah Seksyen 7 (1) memberi kuasa kepada Menteri untuk melarang pencetakan, penjualan, pengimportan, pengedaran atau pemilikan sesebuah penerbitan jika beliau berpuashati bahawa kandungan sesuatu penerbitan memudaratkan ketenteraman awam, moral, keselamatan, kepentingan awam atau negara atau yang berlawanan dengan undang-undang. Menteri boleh melarang sesuatu penerbitan jika penerbitan itu mengandungi perkara-perkara yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

Tetapi kata Mutalib, kenapa setelah 11 tahun baru larangan tersebut dikeluarkan sedangkan KDN tidak pernah mewarta, membawa atau mendapat perintah mahkamah untuk mengharamkan buku IC PALSU Merampas Hak Anak Sabah yang telah diterima sebagai bahan bukti di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam Petisyen Pilihanraya Likas 1999 yang telah dimenangi oleh perayu, Chong Eng Leong

“Mungkin KDN terdesak apabila menterinya (Hishamuddin) mencabar Datuk Wilfred mengemukakan bukti sedangkan semua bukti yang diminta ada dalam buku berkenaan,” ujar Mutalib lagi yang menyatakan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohammad telah memberi keizinan untuk penerbitan buku berkenaan sehingga laris dan dicetak rompak dan dijual secara meluas pada pilihanraya umum 2004 di Kedah, Kelantan dan negeri yang berjaya ditawan Pakatan Rakyat baru-baru ini.

Sehubungan itu, Mutalib meminta jasa baik Menteri Dalam Negeri untuk membuat kenyataan rasmi sama ada buku berkenaan diharamkan atau hanya ‘disorok’ oleh KDN daripada capaian umum, terutama bagi mereka yang telah menjadikan buku tersebut sebagai rujukan.

“Saya telah mendedahkan segala rahsia Skandal X-Files usaha pemimpin kerajaan yang rakus kuasa merekrut PATI sebagai warga Negara dan telah memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai Integriti pada 2006 dan saya tidak fikir buku tersebut menggugat keselamatan awam, malah telah banyak membantu kerajaan menyelesaikan isu pemalsuan kad pengenalan di Sabah,” ujar Mutalib yang hairan dengan larangan aneh berkenaan.

Tiada ulasan: