Isnin, 28 Jun 2010

Rumusan Pemukiman KEADILAN Sediakan Parti Hadapi PRU-13

Oleh Sidiqin Omar


SHAH ALAM - Ketua Penerangan KEADILAN, Latheefa Koya berkata semua rumusan daripada perbincangan di dalam program pemukiman parti yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat yang akan bersidang petang ini dijangka menyediakan tapak kukuh bagi parti menghadapi pilihan raya umum ke 13 kelak.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka menghadiri mesyuarat tersebut sekali gus menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa ketidakhadiran beliau pada program pemukiman dua hari itu disebabkan masalah dalaman.

Latheefa menjelaskan Abdul Khalid, yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Selangor sibuk dengan pelbagai program anjuran kerajaan negeri.

Beliau menjelaskan program 'retreat' ini tidak ada kena mengena dengan keputusan yang melibatkannya, bahkan Khalid sendiri akan hadir dalam mesyuarat

Majlis Pimpinan Pusat yang akan diadakan petang ini.

"'Retreat' ini adalah program pemantapan parti peringkat pusat. Jadi, untuk negeri Selangor, pimpinan KEADILAN negeri tersebut akan tentukan formula mereka sendiri. Sebab itu kita sebut program ini adalah 'retreat'. Rumusan secara keseluruhan, kita akan maklumkan selepas mesyuarat petang ini.

"Antara dapatan yang diperolehi sepanjang sesi perbincangan yang boleh boleh dirumuskan, adalah berkenaan kaedah penerangan, pemantapan organisasi parti dan formula kemenangan dalam pilihanraya umum ke-13," kata beliau kepada media pada sesi rehat tengahari tadi.

Beliau memaklumkan bahawa dalam bengkel kursus ini, setiap peserta 'retreat" dipecahkan kepada sembilan buah kumpulan kecil yang terdiri daripada Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Majis Pimpinan Pusat.

Mereka ditugaskan untuk merumuskan perbincangan dan kembali semula ke dalam mesyuarat bagi membentangkan kertas kerja kumpulan masing-masing.

Ketika ditanya mengenai persoalan dan permasalahan yang dibangkitkan dalam sesi tersebut yang disambung hari ini, Latheefa memaklumkan banyak perkara yang diutarakan dan ada sebahagiannya merupakan idea yang baru.

Dalam sesi mesyuarat petang ini, setiap ahli dibenarkan untuk mengkritik, dan memberikan pandangan konkrit masing-masing terhadap setiap pembentangan kertas kerja.

Tiada ulasan: