Rabu, 2 Jun 2010

Kegananasan Israel: APCO lewat nasihat Najib?

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Selepas 12 jam serangan dilakukan Israel ke atas kapal Mivi Marmara sehingga membunuh 20 sukarelawan dan 30 cedera, barulah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat kutukan ke atas serangan itu.

"APCO lambat nasihatkah?" tanya AJK PAS Pusar, Datuk Husam Musa (gambar) dalam laman komuniti facebook.

Najib membuat kenyataan itu pada jam 12:04 minit malam tadi melalui twitter beliau iaitu setelah lebih 12 jam peristiwa serangan berlaku.

"Kenapa begitu lambat sedangkan negara-negara lain di seluruh dunia, termasuk yang bukan Islam pun, mengeluarkan kenyataan mengutuk Israel dalam 3 jam pertama insiden itu berlaku," soal Husam.

Husam dalam kenyataannya sebelum ini menyifatkan Malaysia berdengkur dalam pelukan APCO apabila tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengutuk keganasan Israel.

Tulisanya, sehingga jam 9 malam, 31 Mei 2010, semakan menerusi web Bernama, tidak ada satu pun kenyataan dari mana-mana pemimpin Malaysia mengenai serangan durjana Israel ini.

"Menteri Luar masuk tidur begitu awal?" soal Husam.

Atau, kerajaan Malaysia hanya beroperasi mengikut jam pejabat hingga lima petang?

"Kita tidak merasa apa-apa dengan serangan Israel ini? Kita tidak risaukan tentang keselamatan rakyat kita? Kita tidak marahkan Israel bertindak kejam dalam perairan antarabangsa menghalang bantuan kemanusiaan untuk ummat manusia yang sedang menunggu dunia membuka jendela mereka?" soal beliau bertalu-talu dalam kenyataan itu.

Bagi beliau, Malaysia seharusnya membatalkan kontrak dengan syarikat Israel - APCO - sebeberapa segera.

"Jika Malaysia telah membayar RM 77 juta kepada syarikat Israel itu, kita mesti menyumbang untuk manusia tertindas di Gaza lebih banyak dari itu," katanya.


Israel - tanpa mempedulikan kutukan dunia - membunuh paling kurang dua puluh sukarelawan kemanusiaan menuju Gaza!

Israel nekad. Jika selama ini hanya rakyat Palestin dibedil sesuka hati, kini, warga dunia dari segala pelusuk, tidak terkecuali. 20 dilaporkan terkorban dan 50 yang lain cedera, tulisnya.

Sekalipun misi dunia menerusi Freedom Flotila adalah kemanusiaan - membawa makanan dan ubatan - untuk ummat Palestin yang telah lama menderita, Israel tidak teragak menumpahkan darah mereka.

"Bersama di atas kapal Mavi Marmara yang mengetuai konvoi ini ialah rakyat negara kita. Kita sangat berbangga!" katanya.

"Mungkinkah mereka juga terkorban?" soal beliau.

Antara yang berada di atas kapal itu adalah:-


1. Tn Hj Noorazman bin Mohd Samsuddin, HALUANPalestin
2. Dr Mohd Arbai’e bin Syawal, HALUANPalestin
3. Dr Syed Muhammad Haleem bin Syed Hasan al-Haddad, HALUANPalestin
4. Ust Al-Hami Husain bin Suhaimi, HALUANPalestin
5. Mohd Nizam bin Mohd Awang, HALUANPalestin
6. Ust Hasanuddin bin Mohd Yunus, Aqsa Syarif
7. Tn Hj Jamuliddin bin Elias, Yayasan Amal
8. Dr Selamat bin Aliman, Jemaah Islah Malaysia (JIM)
9. Abdul Halim bin Mohd Redzuan, Muslim Care
10. Mustafa bin Mansur, MAPIM
11. Ashwat bin Ismail, Wartawan ASTRO
12. Shamsul Kamal Latif, Juru kamera ASTRO

Erdogan, Perdana Menteri Turki, juga harus dibanggakan. Mavi Marmara adalah kapal Turki.

Turki memberikan reaksi pantas. Duta Israel di Ankara diminta berundur. Tiga latihan ketenteraan dengan Israel dibatalkan. Turki meminta Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan sidang tergempar.

Sweden, Sepanyol, Denmark dan Greece juga memberikan reaksi segera dengan memanggil duta Israel. Perancis meminta insiden ini segera disiasat, tulisnya.

Malaysia?


Bagi beliau, Malaysia perlu menyokong tindakan Turki memanggil sidang khas Bangsa-bangsa Bersatu.

Malaysia perlu menghantar apa jua bantuan yang diperlukan untuk warga kita yang terlibat.

"Dalam respon segera, DAP, Pemuda UMNO, PAS dan PKR masing-masing telah mengeluarkan kenyataan.Kerajaan Malaysia? Lena dalam dakapan Apco," katanya.

Taja pelajar Palestin


Bagi rakyat Kelantan, menerusi NGO Cakno Palestin, mereka kini menaja sekitar tiga puluh pelajar anak-anak kelahiran Palestin belajar di negara ini.

Jumlahnya kecil tetapi ia boleh ditambah jika dana sedia ada dapat didokong bersama rakyat Malaysia yang prihatin.

Dengan luka yang dilakukan oleh Israel kini, menjadi kewajipan kita serius dalam keprihatinan kita terhadap penindasan tak kunjung tamat oleh regim Israel terhadap rakyat Palestin, kata Husam lagi.

Tiada ulasan: