Rabu, 2 Jun 2010

Judi bola: Pemuda PAS Perlis serah memo

Bashir Ishak


KANGAR: Selepas memimpin demonstrasi membantah kelulusan lesen perjudian sukan Jumaat lalu, Pemuda PAS Perlis hari ini menghantar memorandum bantahan kepada Kerajaan Negeri Perlis serta Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs).

Memorandum bantahan tersebut telah diserahkan oleh Ketua Pemuda PAS negeri, Ustaz Ya'akub Abu Seman kepada Pengarah JAIPs, Abdul Malik Hussin di pejabatnya jam 10.00 pagi tadi.

Manakala satu lagi memorandum diserahkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari dan Pembangunan As-Sunnah negeri, Jafperi Othman di Pejabat Majlis Mesyuarat Kerjaan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini jam 11.00 pagi tadi.

Ya'akub turut diiringi oleh lima orang Exco Pemuda PAS negeri semasa menyerahkan memorandum tersebut.

Antara lain, memorandum tersebut meminta pihak terbabit membuat kenyataan dan memberikan pandangan mengenai keputusan kerajaan meluluskan lesen judi bola sepak Piala Dunia 2010 serta menjelas dan mempertegaskan kepada masyarakat Perlis khususnya masyarakat Islam betapa judi adalah haram dan merosakkan institusi kekeluargaan.

Abdul Malik dan Jafperi yang menerima memorandum tersebut menyambut baik langkah Pemuda PAS negeri dan akan mencuba untuk berbuat yang terbaik di bawah kapasiti yang mereka ada dalam menangani isu itu.

Tiada ulasan: