Ahad, 24 Januari 2010

Kartika mahu selesai hukuman sebelum fikir rujuk semula

BERITA HARIAN ONLINE




IPOH: Ibu dua anak yang disabitkan dengan kesalahan meminum arak, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 33, mahu menyelesaikan hukuman sebat ke atasnya sebelum memikirkan rujuk semula dengan bekas suami.

Kartika berkata, jika masih ada jodoh, beliau tidak keberatan mendirikan rumah tangga sekali lagi dengan jurutera rangkaian komputer agensi berita antarabangsa berusia 38 tahun itu, Muhammed Afandi Amir.

“Kalau boleh, saya ingin menyelesaikan semua masalah ditanggung sebelum memikirkan soal berkaitan kehidupan peribadi," katanya ketika ditemui di Pusat Pendidikan Al-Barakah, di sini, semalam.

Mahkamah Rendah Syariah Kuala Kangsar minggu lalu mengesahkan lafaz cerai Muhammed Afandi pada pertengahan Oktober 2008 dan gugur talak satu antaranya dengan Kartika Sari.

Kartika Sari berkata, terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan antaranya hukuman sebat yang masih tertangguh sejak hampir enam bulan lalu.

Beliau berkata, bekas suaminya pernah menyuarakan hasrat rujuk semula, namun dia mahu segala masalah dihadapinya diselesaikan terlebih dulu.

“Terlalu banyak dugaan perlu ditempuhi sepanjang menunggu keputusan hukuman sebat ini, namun saya tetap bersabar dan menghadapinya dengan reda.

“Situasi ketika ini tidak mengizinkan saya berfikir hal rujuk kerana saya berada Malaysia sedangkan dia di Singapura. Namun, jika kami ditakdirkan bersama semula, saya mahu menjalankan tugas sebagai isteri dengan sempurna,” katanya.

Kartika Sari berkata, ada pihak berkuasa dari Kuala Lumpur yang menelefon beliau untuk berbincang mengenai hukuman sebat ke atasnya.

Namun, katanya, beliau tidak pasti hukuman itu akan dijalankan atau dibatalkan kerana tidak mendapat surat rasmi daripada pihak berkenaan.

Tiada ulasan: