Selasa, 29 September 2009

Usia 55 tahun ke atas paling banyak maut

UTUSAN ONLINE


BALING - Wajarkah kerajaan melarang rakyat yang berusia 55 tahun menunggang motosikal atau memandu bersendirian bagi mengelak daripada berlaku kemalangan maut.

Itulah cadangan yang dikemukakan Polis Daerah Baling setelah melihat salah satu daripada faktor utama berlaku kemalangan ialah pengguna kenderaan yang terlibat sudah memasuki usia warga emas.

Ketua Polis Daerah Baling, Supritendan Mat Daud Mat Hasan berkata, peningkatan kematian di kalangan pengendali kenderaan warga emas agak membimbangkan dan wajar diberi perhatian.

Menurut beliau, sebagai langkah awal, setiap keluarga perlu memastikan ahli mereka yang sudah lanjut usia supaya tidak memandu kenderaan sama ada kereta atau motosikal sekiranya mereka tidak lagi mampu berbuat demikian.

"Inilah yang kita bimbang... Ada penunggang atau pemandu kereta yang sudah lanjut usia masih mahu menunggang atau memandu kereta sendirian.

"Statistik di daerah ini menunjukkan kadar kemalangan maut melibatkan warga emas berusia 55 tahun ke atas meningkat berbanding tahun lalu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, menurut beliau, daripada sejumlah 35 kematian yang dicatatkan di Baling sepanjang sembilan bulan tahun ini, sebanyak 18 daripadanya adalah warga emas.

Angka kematian itu meningkat sebanyak 53 peratus berbanding tempoh yang sama iaitu dari Januari hingga September tahun lalu.

Tiada ulasan: