sila jelaskan isu rasuah dan siapa jual tanah pantai Port Dickson
Wartawan Buletin
TELUK KEMANG – Selamat Datang Tan Sri Isa Samad ! Selamat bertanding dalam pilihanraya DUN Bagan Pinang yang bakal menyaksikan pertarungan sengit walaupun UMNO berasa selamat dengan undi pos melebihi 5,000 orang.
Penamaan Isa sebagai calon BN dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang 11 Oktober depan, membuktikan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional tunduk kepada ugutan kumpulan yang taksub kepada Isa.
Isa, 59, merupakan ketua Umno bahagian Teluk Kemang dan bekas naib presiden Umno telah diumumkan sebagai calon oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bilik operasi BN di Port Dickson hari ini.
Dengan mengumumkan Isa sebagai calon juga, menunjukkan betapa bankrapnya UMNO/ BN yang sudah ketandusan pemimpin baru dan bersih.
Isa telah dibuktikan bersalah melakukan rasuah politik ketika pemilihan Umno 2004, dan digantung selama tiga tahun oleh Lembaga Disiplin UMNO, sejak 24 Jun 2005.
Ahli Dewan Undangan Negeri Port Dickson, M.Ravi berkata Bagan Pinang yang merupakan kubu kuat BN juga merupakan kubu jenayah dan rasuah.
Katanya, pimpinan UMNO yang akan bertanding, Isa Samad mempunyai kes rasuah namun UMNO tidak ada calon yang lain.
”Kita ada bukti, pimpinan yang akan bertanding (Isa Samad) ada kes rasuah, tetapi UMNO tidak ada calon selain dari dia,
”kita sentiasa sedia tidak kira siapa dia, bapak yang bertading atau anak yang bertanding, tidak peduli, kita akan sediakan peluru kita, bila dia sudah isytihar (sebagi calon) kita akan tembak dia,”katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran jentera pilihanraya PAS Terengganu di UPU Teluk Kemang semalam.
Menurutnya, Isa Samad adalah antara pemimpin UMNO yang telah menjual tepi laut (pantai) dengan geran kekal dan telah menjahanamkan satu Port Dickson.
”Tuan-tuan boleh nampak keliling Port Dickson hingga Pasir Panjang, semua tepi laut (pantai) dia telah jual, sekiranya dia bertanding, dan menang, yang tinggal sekarang di Tanjung Agas pun dia akan jual,”jelasnya.
Sehubungan itu, Ahli Majlis Pemimpin Tertinggi (AMPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Badrul Hisham Saharin berkata hanya di Port Dickson sahaja pantai yang telah ada geran.
Katanya, kerajaan UMNO yang ada telah meluluskan pemberian pantai ini kepada seorang bekas Exco negeri Sembilan, yang duduk dan meluluskan pemberian tanah itu dalam mesyuarat berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan