Rabu, 30 September 2009

M'sia-Arab Saudi bentuk syarikat usahasama AS$2.5b

MALAYSIA KINI


Malaysia dan Arab Saudi hari ini memasuki era baru dalam kerjasama ekonomi dengan penubuhan sebuah syarikat usahasama dengan modal AS$2.5 bilion yang akan mengendalikan aliran pelaburan langsung asing dari Timur Tengah serta membuat pelaburan strategik dalam projek berimpak tinggi di Malaysia.

Syarikat usaha sama berkenaan merupakan hasil perkongsian antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi International Limited (PSI).

Usaha teroka itu merupakan yang pertama dilaksanakan oleh PSI di rantau ini dan menunjukkan keyakinan Arab Saudi terhadap Malaysia dan prospek ekonominya, demikian menurut kedua-dua syarikat berkenaan dalam kenyataan bersama.

Maklumat lanjut mengenai usaha sama berkenaan akan diumumkan hari ini, lapor Bernama.

1MDB, syarikat milik penuh kerajaan Malaysian, ditubuhkan baru-baru ini bagi memacu inisiatif strategik untuk pembangunan ekonomi mampan jangka panjang dan menggalakkan aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke dalam negara.

PSI, berpangkalan di Al-Khobar, Arab Saudi, bertanggungjawab melaksanakan pelaburan yang boleh mengukuhkan hubungan antara antara Arab Saudi dan negara utama di seluruh negara.

Objektif syarikat usaha sama berkenaan adalah bagi mendapatkan, meneroka dan mengambil bahagian dalam peluang ekonomi dan perniagaan yang menghasilkan peningkatan dan penggalakkan kemakmuran masa depan dan pembangunan ekonomi mampan jangka panjang Malaysia.

Ia dijangka melabur secara aktif dalam sektor tenaga diperbaharui.

Syarikat usahasama itu juga dijangka menjadi perantara bagi pelaburan dari Timur Tengah ke rantau ini dengan itu memberi kelebihan kepada Malaysia dalam menarik pelaburan dari rantau yang kaya dengan wang dan sumber berkenaan.

Ketua pegawai eksekutif PSI Sheikh Tarek bin Essam bin Ahmad berkata: "Malaysia telah lama menjadi model kestabilan dan pembangunan untuk negara membangun.

"Kami percaya dasar liberalisasi ekonomi terbaru yang diumumkan perdana menteri akan menjadikan Malaysia sebagai tempat yang menarik untuk pelabur.

"Kami menjangka Malaysia akan menjadi rakan penting untuk negara Arab Saudi."

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Halmi yang menyambut baik penubuhan syarikat usaha sama itu berkata: "Syarikat usaha sama itu bersedia untuk terus meningkatkan FDI dari Timur Tengah, terutamanya Arab Saudi.

"Kami akan memanfaatkan kedudukan kukuh PSI di peringkat antarabangsa, rangkaian dan kepakaran mereka untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan."

Syarikat usaha sama itu akan melaksanakan projek dalam pelbagai sektor yang memberi manfaatkan bersama dan seiring dengan misi 1MDB untuk memacu pembangunan ekonomi mampan jangka panjang di Malaysia.

Tiada ulasan: