MALAYSIA KINI
Pada tanggal 20 November ini, Malaysiakini - akhbar bebas internet pertama di negara ini - akan menyambut ulangtahun penubuhannya dalam menyalur laporan berita bebas dan seimbang sejak 10 tahun lalu.
Ketua Pengarang Kumpulannya Steven Gan - yang juga salah seorang pengasas Malaysiakini - berkata: "Media yang bebas memerlukan sumber kewangan yang bebas - sentiasa menjadi moto tersirat kami sejak 10 tahun lalu.
"Sementara kewujudan Malaysiakini penting dalam memberi impak kepada masyarakat, ia lebih penting lagi bagi kami mempelbagaikan sumber-sumber pendapatan bagi memastikan kami terus bebas.
"Terima kasih banyak-banyak, terutamanya kepada para pelanggan, yang menyokong kami selama ini, bagi membolehkan Malaysiakini kekal bebas dalam menyalurkan berita dan pandangan kami. Sambutan ini bertujuan untuk kami mengucapkan terima kasih atas sokongan padu mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Malaysiakini dilancarkan pada 20 November 1999 sebagai portal berita internet percuma dengan tujuh orang kakitangan. Hari ini, lamanweb ini mempunyai 65 kakitangan, yang melaporkan berita dan pandangan setiap hari dalam bahasa Inggeris, bahasa Malaysia, Cina dan Tamil.
Lamanweb ini juga ditatap lebih 37 juta pengunjung dan 750,000 muat-turun video setiap bulan oleh 1.6 juta pengunjung unik (Analisa Google, Ogos 2008).
Pada bulan Julai 2008, Malaysiakini menjadi laman web yang paling banyak berita dibaca dan paling popular di kalangan laman web di Malaysia (Alexa.com)
Sambutan ulangtahun Malaysiakini akan bermula melalui talian, mulai pertengahan September 2009. Pelbagai aktiviti menarik telah diatur, dengan acara kemuncaknya merupakan Majlis Jamuan Makan Malam Ulangtahun ke-10 Malaysia (MAD) pada 28 November 2009 di Pusat Konvensyen Sime Darby.
Banyak acara menarik telah diatur sepanjang majlis tersebut seperti acara hiburan, cabutan bertuah dan banyak lagi. MAD dijangka menarik kehadiran tokoh-tokoh terkemuka tanahair dalam bidang politik dan ekonomi. Lebih banyak maklumat lanjut boleh didapati di www.malaysiakini.com/weare10.
"Kami berharap dapat menganjurkan acara yang meriah manakala majlis makan dikena bayaran kerana ia juga merupakan satu majlis kutipan dana. Hasil kutipan akan disalurkan kepada Tabung Bangunan memandang Malaysiakini selama ini beroperasi di premis yang disewa. Ia lebih praktikal untuk menimbang bagi memiliki bangunan pejabat sendiri," kata pengasas serta ketua pegawai eksekutif Malaysiakini, Premesh Chandran
"Para pelanggan dan penyokong pasti akan puas hati dan bergembira apabila menghadiri majlis tersebut. Ia pasti menjadi malam yang tidak akan dapat dilupakan," janji Premesh.
Syarikat ini memiliki dua anak syarikat - Manage4me Sdn Bhd dan 247 Media Sdn Bhd, yang masing-masing memiliki: Malaysiakini.com, Malaysiakini.tv, Manage4me.com, Kinibooks.com, Voize.my, Fansrock.us, Earth247.tv, Digitalibrary.my
Tiada ulasan:
Catat Ulasan