Khamis, 24 September 2009

Liberalisasi Dasar Automotif:Proton hilang kelebihan

Neo Chee Hua


Dasar Automotif Negara (National Automotive Policy, NAP) yang dikaji semula akan diumumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI) pada Oktober ini. NAP ini dijangka memberi kesan yang besar terhadap industri automotif negara, malah bakal mengubah masa depan kereta nasional yang selama ini dilindungi kerajaan.

Proton Holdings Bhd sebagai teras industri automotif negara kini berdepan dengan pemindaan NAP, dan liberalisasi pasaran lantaran Asean Free Trade Agreement (AFTA). Persoalannya, sejauh manakah Proton boleh bertahan?

Walaupun NAP yang dikaji semula ini bakal diumumkan pada Oktober, namun kandungan dasar tersebut telah tersebar. Sebagaimana yang diketahui, NAP ini akan merombak dan membawa perubahan yang mendadak dari segi struktur dalam industri automotif.

Antaranya, dua teras perubahan yang akan memberi impak kepada Proton Holdings Bhd adalah liberalisasi pasaran industri automotif tempatan, dan persaingan lantaran penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi baru.

Garis pemisah & definisi baru

Dalam NAP baru, syarikat automitif di Malaysia tidak lagi dipisahkan dengan kereta nasional dan kereta bukan nasional. Sebaliknya, garis pemisah yang baru ialah kereta tempatan (local) dan kereta bukan tempatan (non-local).

Dalam pendefinisian yang baru, kereta yang dibuat atau dipasang di tempatan, akan diklasifikasikan sebagai kereta tempatan. Syarikat pelabur asing mahupun syarikat kereta tempatan akan menikmati keistimewaan yang samarata. Sementara itu, kerajaan berniat untuk mengambil sikap yang lebih terbuka terhadap syarikat yang ingin mendirikan kilang pembuatan atau pemasangan kereta di Malaysia.

Langkah ini bertujuan untuk menarik lebih pelabur asing untuk melabur di Malaysia, terutamanya pelaburan langsung luar negara yang boleh membawa nilai tambahan (value added). Dahulunya, pengilang kereta asing memberi tumpuan utama dalam perusahaan kereta pemasangan tempatan (Completely Knocked Down, CKD). Perusahaan ini tidak melibatkan penyelidikan dan pembangunan teknologi baru.

Beberapa tahun kebelakangan ini, pelaburan asing dalam perusahaan pemasangan kereta semakin berkurangan. Lebih-lebih lagi, kecenderungan NAP untuk melindungi kereta nasional telah mengakibatkan banyak pengilang asing untuk memindahkan perusahaan pemasangan kereta ke negara jiran yang menawarkan lebih banyak keistimewaan, seperti negara Thai dan Indonesia.

Proton hilang kedudukan istimewa

Lebih penting, setelah AFTA dilaksanakan, cukai import menurun secara mendadak kepada 5% maksimanya. Import car franchiser mendapati, kos untuk mengimport kereta dari Thai ke Malaysia adalah lebih rendah berdasarkan AFTA. Ini menjurus kepada satu situasi di mana kereta yang diimport terus dari negara jiran lebih banyak daripada "kereta import yang dipasang" di tempatan.

Jelas, dalam NAP yang baru, kerajaan terpaksa mengambil dasar yang lebih terbuka dan mesra pelabur asing. Kerajaan berharap untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing, lantas membawa masuk lebih pelaburan dalam bidang R&D.

Pada asasnya, langkah ini telah mewujudkan senario yang baru dari apa yang sedia wujud selama 20 tahun ini -- monopoli Proton dalam pasaran kereta negara. Menurut definisi baru, Proton tidak lagi menikmati keistimewaan sebagai "kereta nasional", tetapi perlu bersaing dengan semua syarikat "kereta tempatan".

Liberalisasi industri kereta mungkin merupakan khabar buruk buat kereta Proton dalam jangka pendek. Namun, sekiranya dilihat dari sudut jangka panjang, kereta Proton tidak boleh berselindung di bawah naungan kerajaan untuk selama-lamanya, berpuas hati dengan gelaran "jaguh kampung" tanpa mempedulikan cabaran globalisasi.

Kini, kereta Proton hanya mempunyai dua jalan, sama ada menjalankan reformasi secara menyeluruh, mempertingkatkan diri ke peringkat rantai nilai tambahan (value added chain), atau membilang hari-hari terakhir apabila dirinya tersingkir dari pasaran...

Untuk kereta Proton, mengikatkan diri dengan rantai nilai tambahan merupakan cabaran yang sukar. Dalam jangka 25 tahun yang lalu, kebanyakan masanya Proton merupakan Mitsubishi based car, iaitu kereta dengan enjin dan rekaan Mitsubishi tetapi berlabel Proton.

Proton tidak menerokai penyelidikan dan pembangunan yang tersendiri. Hanya beberapa tahun kebelakangan ini, barulah Proton memulakan penyelidikan dan pembangunan enjin sendiri.

Tiada ulasan: