Senaraikan 6 pelanggaran, tuntut pemilihan baru diadakan
Oleh G. MANIMARAN
KUALA LUMPUR: Parti komponen Barisan Nasional, MIC berhadapan dengan satu lagi 'ujian persepsi' dengan sekumpulan tujuh calon yang bertanding pemilihan MIC pusat 12 September lalu termasuk seorang calon jawatan Naib Presiden, mahu keputusan pemilihan itu diisytiharkan sebagai tidak sah.
Sehubungan itu, mereka yang telah mengemukakan empat surat aduan kepada Jawatankuasa Pemilihan sejak 18 September lalu juga mahu satu pemilihan baru diadakan.
Aduan seperti ini pernah dikemukakan pada masa-masa lalu dan tiada pemilihan baru diadakan.
Kumpulan itu menggariskan sekurang-kurangnya enam pelanggaran utama peraturan pemilihan termasuk campur tangan Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu yang mengatasi keputusan Jawatankuasa Pemilihan melarang para perwakilan daripada membawa telefon bimbit masing-masing ke kawasan pembuangan undi.
Lima pelanggaran lain yang diketengahkan mereka ialah:
- Calon Pasukan Presiden berkempen selepas tempoh larangan berkempen 12 tengah hari, 11 September dikuatkuasakan. Mendakwa barisan calon Pasukan Presiden mengadakan sidang media berunsur berkempen pada pukul 3 petang, 11 September di Ibu Pejabat MIC;
- Mendakwa akhbar milik keluarga Presiden MIC, Tamil Nesan menyiarkan rencana dan iklan-iklan yang berunsur kempen, menyokong dan memihak calon Pasukan Presiden pada hari pemilihan 12 September;
- Akhbar itu didakwa diedarkan secara percuma kepada perwakilan di Dewan Merdeka, PWTC pada pagi hari pemilihan;
- Melarang calon daripada mencatatkan pengiraan undi sedangkan ia dibenarkan sehari sebelum itu; dan
- Kira-kira 90 peratus pekerja di dewan pengiraan undi merupakan kakitangan Ibu Pejabat MIC, Koperasi Pekerja Jaya dan Institut Pembangunan Pendidikan Maju, bukannya pekerja bebas kalangan pelajar universiti yang dijanjikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan
Pembuangan undi, yang disertai 1,460 perwakilan dengan pemilihan dimenangi hampir 90 peratus calon Pasukan Presiden, telah diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Bagaimanapun empat calon bukan Pasukan Presiden berjaya memenangi kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Jawatan Timbalan Presiden dimenangi oleh Datuk G. Palanivel yang mengekalkan jawatannya buat penggal kedua berturut-turut. Ia turut disaingi oleh bekas Timbalan Presiden, Datuk S. Subramaniam dan Datuk S. Sothinathan.
Setiausaha Agung Datuk Dr. S. Subramaniam, Ketua Penerangan Datuk M. Saravanan dan Bendahari Agung Datuk S.K. Devamany pula memenangi jawatan Naib Presiden.
ADUAN
Ditemui pada sidang media pagi tadi, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Pelanggaran Pemilihan MIC, P. Balasubramaniam yang juga calon Naib Presiden memberitahu, "kami telah meminta Jawatankuasa Pemilihan membuat keputusan mengisytiharkan keputusan tempoh hari sebagai tidak sah."
"Ya, kami mahu pemilihan baru diadakan," kata beliau ketika ditanya sama ada mereka turut meminta agar satu pemilihan baru diadakan kelak.
Pada sidang media itu, kumpulan tersebut juga menganggap CWC yang bakal mengadakan mesyuarat pertamanya selepas pemilihan 12 September, Selasa ini "sebagai tidak sah."
Bagaimanapun daripada empat surat yang dihantar kepada Jawatankuasa Pemilihan, tiga daripadanya mendesak keputusan 12 September diisytiharkan sebagai tidak sah.
Satu lagi surat meminta pemilihan baru diadakan selain mengisytiharkan pemilihan sebagai tidak sah.
Surat-surat berkenaan telah dihantar pada 18 September, 23 September dan 25 September.
Daripada tujuh calon yang mengemukakan aduan itu, hanya lima yang hadir pada media hari ini iaitu Subramaniam, Saaran Nadarajan, R. Anbalagan, Ananthan yang turut dikenali sebagai Kajang Ananthan dan R. Subramaniam.
Saaran mendakwa berdasarkan maklumat yang diterima telefon bimbit digunakan untuk merakamkan petanda undi pada kertas undi sebagai bukti sokongan mereka kepada calon Pasukan Presiden.
"Kami ada bukti untuk mengatakan apa yang dispekulasikan dan dikhuatiri adalah benar iaitu telefon bimbit digunakan untuk merakamkan kertas undi," katanya.
Dalam pada itu, peguam jawatankuasa tersebut. S. Saraswathy memberitahu, Perlembagaan MIC membenarkan kes mereka dibawa ke mahkamah.
Bagaimanapun Akta Pertubuhan 1966 tidak menyediakan peruntukan sedemikian, katanya.
"Peruntukan Seksyen 91 Perlembagaan MIC menyebut bahawa sebelum sesuatu isu boleh dibawa ke mahkamah, ia perlu dirujuk kepada CWC terlebih dahulu.
"Tetapi dalam hal ini, kami melihat CWC sendiri tidak sah kerana calon yang menang telah melanggar peruntukan pemilihan dan tidak diisytiharkan sebagai tidak layak bertanding tetapi menang dan kemudian menduduki CWC.
"Oleh itu kami sedang melihat ruang-ruang lain untuk memikirkan tindakan susulan," katanya yang turut menghadiri sidang media itu.
KOMEN PENGERUSI JAWATANKUASA PEMILIHAN
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Datuk K. Vijayanathan berkata, pihaknya tiada apa-apa kuasa lagi untuk bertindak terhadap surat aduan mereka.
"Oleh itu saya tidak boleh membalas surat mereka. Pun begitu, mereka boleh membuat aduan kepada CWC.
"Sebaik sahaja pemilihan berakhir dan keputusan diumumkan, tugas kami sudah selesai dan kami tiada apa-apa kuasa sekarang," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan