Isnin, 28 September 2009

PTPTN, LHDN diminta kaji semula larangan ke luar negara

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) disaran mengkaji semula arahan larangan ke luar negara yang dikeluarkan terhadap golongan pekerja yang mempunyai hutang tertunggak dengan kedua-dua badan itu.

Setiausaha Eksekutif Kesatuan Pekerjapekerja Sistem Penerbangan Malaysia (MASEU) Mustafar Maarof dalam satu kenyataan hari ini berkata arahan tersebut telah menimbulkan banyak komplikasi dan kekeliruan kepada pekerja-pekerja yang sentiasa mempunyai tugasan berulang-alik ke luar negara.

"Mengambil contoh krew kabin penerbangan, di mana tugas hakiki mereka ialah sebagai krew di dalam pesawat yang melibatkan hampir 100 peratus tugasan berulang-alik ke luar negara.

"Golongan ini mendapat gaji bulanan seperti pekerja-pekerja lain dan tindakan menghalang mereka ke luar negara untuk tugasan boleh menyebabkan mereka hilang pekerjaan," menurut kenyataan itu.

Menurut MASEU lagi ada di antara pekerja-pekerja tersebut yang tetap dihalang ke luar negara walaupun telah menjelaskan hutang mereka atau telah mula membuat pembayaran secara ansuran bulanan kepada PTPTN.

"LHDN dicadangkan supaya membuat satu garis panduan yang jelas kepada pihak imigresen terutama dari segi jumlah peratus had maksima dan had minima dari keseluruhan cukai yang perlu dibayar serta tahap pelepasan di kaunter imigresen, manakala PTPTN pula perlu mempunyai mekanisme baru kutipan wang pinjaman," kata MASEU.

Tiada ulasan: