Rabu, 30 September 2009

Tidak yakin pada Isa, Umno ugut pengundi

Oleh Dzulfikar Mashoor


BAGAN PINANG :Tidak yakin dengan kemampuan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Umno-BN cuba pula mengekang pegawai kerajaan dan tentera dari menyokong Pakatan Rakyat.

Menteri Pertanian dan Asas Tani Datuk Noh Omar semalam melarang pegawai kerajaan dari menyertai sebarang mesyuarat anjuran pembangkang.

Ketua Penerangan PAS Idris Hj. Ahmad berkata, tindakan Noh itu adalah cerminan sebenar tahap pemikiran menteri-menteri di Umno-BN.

"Umno kata punca Melayu mundur kerana PAS berpelukan DAP, sedangkan rakyat Malaysia sebenarnya dimundurkan dengan tindakan serta cara berfikir Menteri 1Malaysia seperti Noh,"jelasnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Idris turut menasihatkan Noh agar bersikap lebih demokratik dan nasional; kerana Menteri ini sarjana perundangan.

Tambahnya lagi, Noh sepatutnya fokus pada urusan kementerian, bukannya terlalu berpolitik.

Dalam perkembangan berkaitan, N31 bakal menyaksikan Isa menentang calon Pakatan Rakyat daripada PAS, Zulkefly Mohamad Omar.

Dalam pada itu, pada 21 Januari lalu, akhbar The Star melaporkan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sewaktu menjadi Menteri (Agama) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), pernah mengugut penjawat kerajaan dari menyertai Pakatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pakatan ketika dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang menganggap politik ugutan sebagai politik lama Umno BN.

Tetapi, tanggapan sedemikian masih tidak kedengaran, biarpun Umno sekali lagi mengugut pengundi di sini, sejak semalam. - mks._

Tiada ulasan: