Oleh G. MANIMARAN
NILAI: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin masih bersikap terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan Dewan Pemuda PAS berhubung apa jua perkara yang menyentuh kepentingan bersama-sama pergerakan muda kedua-dua parti itu.
Sehubungan itu, Ahli Parlimen Rembau ini meminta "jangan ada apa-apa perasaan syak-wasangka antara Pemuda PAS dan Pemuda Umno."
Beliau juga melahirkan harapan agar Pemuda PAS juga akan mempamerkan sikap terbuka dalam hal ini.
"Saya pun ada bincang sedikit tentang hala tuju bersama dengan (Timbalan Ketua Pemuda PAS, Azman Shapawi Abdul Rani, hari ini), bukan kita hendakkan hubungan yang formal.
"Tetapi sekiranya ditakdirkan ada peluang untuk kita sama-sama berjumpa dan berbincang dengan lebih tersusun lagi, saya terbuka kepada jalan tersebut.
"Dan, saya berharap Pemuda PAS pun tetap terbuka dan masih terbuka kepada idea tersebut," kata beliau ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa dekat sini hari ini.
Khairy tiba di rumah Nasharudin kira-kira 3.30 petang. Azman Shapawi juga hadir sama pada majlis rumah terbuka itu.
Ini kali pertama Khairy menghadiri majlis rumah terbuka pemimpin kanan PAS.
Khairy dipilih sebagai Ketua Pemuda Umno Mac lalu.
Dewan Pemuda PAS juga menerima ketua yang baru Jun lalu iaitu Nasrudin Hassan Al-tantawi.
Mengulas lanjut, Khairy memberitahu, beliau dan Timbalan Ketua Pemuda PAS tidak membincangakan apa-apa perkara yang serius hari ini.
"Saya pun telah menyampaikan salam saya kepada saudara Nasrudin. Tiada apa-apa agenda yang formal, yang perlu ditetapkan.
"Cuma hendak membina hubungan persaudaraan, mungkin melalui kunjungan seperti ini akan dapat kita melihat satu keserasian dalam hubungan kita antara PAS dan Umno.
"Saya rasa tiada masalah. Jangan kita terlalu baca dalam keadaan macam ini... biar hubungan itu terjadi secara semula jadi, jangan kita paksa," katanya.
Mengenai idea Dewan Pemuda PAS Jun lalu agar diadakan wacana ilmiah, Khairy berkata:
"Wacana itu sudah jadi isu yang lama, banyak komen sudah diberikan... sekejap jadi, sekejap tak jadi."
"Macam saya katakan tadi, biar hubungan ini jadi hubungan semula jadi.
"Jangan kita paksa. Jangan kita ada tumpuan media, jangan ada tumpuan wartawan. Yang ini akan merumitkan keadaan, bila kita ada terlalu banyak pihak, banyak orang, kita tidak akan melihat kejujuran daripada kedua-dua pihak," katanya.
Ketika ditanya mengenai kehadiran pada majlis rumah terbuka Nasharudin, Khairy memberitahu, "bagi saya ini bukan benda luar biasa sebab ini musim Hari Raya, perayaan Aidilfitri. Jadi bila dijemput untuk datang untuk ke rumah terbuka dan bila ada kelapangan dan masa, maka kita datanglah."
"Bagi saya tiada apa-apa yang luar biasa untuk datang ke sini. Saya pun dah kenal Ustaz Nasharudin dah lama dan kita sama-sama dalam Parlimen, jadi secara kebetulan pula saya tinggal di Putrajaya, tidak jauh dari sini, tiada masalah untuk datang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan