UTUSAN ONLINE
NIBONG TEBAL - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Lai Chew Hock kecewa kerana siasatan kes kematian isterinya, Thor Joo Lee, akibat dirompak September lalu tidak menunjukkan sebarang perkembangan.
Chew Hock berkata, beliau penat berulang-alik dan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), di sini untuk mengetahui perkembangan kes itu tetapi jawapan yang 'ia masih dalam siasatan.'
Malah katanya, ada beberapa pegawai yang bertanggungjawab menyiasat kes tersebut sebelum ini sudah berpindah ke tempat lain.
"Sebelum ini polis menyatakan sudah mengenal pasti beberapa suspek dan ia memberi saya harapan agar pihak yang bertanggungjawab akan dihadapkan ke muka pengadilan.
"Kini sudah setahun berlalu, tetapi jawapan sama saya terima iaitu ia masih dalam siasatan. Saya sendiri tidak tahu adakah masih ada pegawai yang menyiasat kes ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 malam, 23 September tahun lalu, Joo Lee, 44, mati ditikam selepas dirompak sekumpulan lelaki sebaik tiba di pekarangan rumahnya di Taman Tambun Indah, di sini.
Perompak berkenaan berjaya melarikan wang tunai RM14,000 yang dibawa oleh Joo Lee dari stesen minyak milik keluarganya tidak jauh dari tempat kejadian.
Chew Hock berkata, beliau membuat keputusan menarik semula tawaran wang ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang berjaya memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah yang membunuh isterinya.
"Biarlah polis yang bertanggungjawab sepenuhnya untuk menyiasat kes ini," katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Hospital Pulau Pinang (HPP) yang mengenakan bayaran RM1,000 untuk mendapatkan laporan bedah siasat isterinya sedangkan kadar biasa hanya RM60.
Chew Hock mendakwa, HPP memberi alasan kes tersebut berprofil tinggi dan kadar bayaran yang dikenakan selaras dengan Akta Perubatan 1951.
"Selepas membuat aduan dan rayuan kepada banyak pihak termasuk melalui Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kesihatan, barulah HPP memberi kadar baru iaitu sebanyak RM400. Itupun saya fikir masih tinggi.
"Saya menunggu hampir setahun untuk mendapatkan laporan (bedah siasat) itu dan banyak membuang masa membuat permohonan dan rayuan kepada pelbagai pihak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan