UTUSAN ONLINE
KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak mahu usaha dipertingkatkan bagi membawa pulang golongan bijak pandai Malaysia yang berada di luar negara terutama dalam bidang sains.
Perdana Menteri berkata, negara setakat ini masih gagal menepati sasaran bilangan penyelidik, saintis dan jurutera (RSE) yang secukup melalui Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Beliau berkata, sasaran yang ditetapkan di bawah RMK-9 adalah 60 RSE bagi setiap 10,000 tenaga kerja.
Namun, kata beliau, setakat ini, hanya seramai 18 RSE yang mampu dihasilkan berdasarkan bilangan tenaga kerja yang digariskan itu.
"Nyata sekali bilangan ini adalah jauh daripada memuaskan hati dan sesuatu harus dilakukan bagi memperbaiki keadaan.
"Kita perlu mengenal pasti punca ketidakmampuan kita bagi menghasilkan lebih ramai profesional sains, jika ia kerana ketandusan pemikiran, kita perlu mencari jalan untuk memperbaikinya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Sains Mahathir di sini malam ini.
Hadir sama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Johnity Ongkili dan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Tambah Najib, salah satu kaedah terbaik untuk meningkatkan RSE negara adalah membawa mereka yang menetap di luar untuk kembali ke negara ini.
"Kita perlu membawa bakat-bakat (bijak pandai) pulang dan menyediakan insentif agar mereka kekal di sini.
"Apa sahaja yang perlu, hendaklah dilakukan untuk mengatasi kelemahan pembentukan bakat bidang sains, " katanya.
Jelas beliau, pelaburan yang lebih banyak perlu dilakukan bagi membina pangkalan penyelidikan dan pembangunan serta kumpulan berbakat dalam pelbagai cabang sains.
Katanya, sains, teknologi dan inovasi adalah pemacu kepada pembaharuan ekonomi sesebuah negara yang menjadikan bidang itu satu keutamaan bagi pembangunan ekonomi arus perdana.
"Kita perlu meletakkan penanda aras diri kita (dari segi kemajuan bidang sains) dengan negara-negara seperti Korea Selatan, Jepun, India dan China," katanya.
Sementara itu, Najib turut mengumumkan Prof. Gurdev Singh Khush dari University of California dipilih sebagai pemenang Anugerah Sains Mahathir 2008 atas jasanya dalam bidang penyelidikan padi.
Beliau terpilih atas kejayaannya membantu meningkatkan hasil pengeluaran beras dunia dari 257 juta tan pada 1966 kepada 520 juta tan pada 1990.
Kejayaan Gurdev yang berasal dari India itu turut membantu menambah bekalan makanan kepada satu bilion penduduk dunia di samping meningkatkan taraf hidup para petani di Asia.
Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) pula diumumkan Perdana Menteri sebagai penerima Anugerah Sains Mahathir 2009 kerana peranannya memajukan industri perabot kayu getah di peringkat global.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan