Ahad, 27 September 2009

Samy Vellu perlu letak jawatan: Dr Mahathir

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Datuk Seri S Samy Vellu perlu meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC kerana sudah terlalu lama memegang jawatan itu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Dia tak boleh, dah duduk situ (Presiden MIC) 30 tahun, dia lebih lama daripada saya, saya 22 tahun pun saya sanggup letak jawatan.

"Masa saya letak jawatan, bukan orang benci sangat tapi saya masih letak jawatan - ini dia lagi duduk situ, lagi orang benci," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Seri Kembangan, dekat sini hari ini.

Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan Samy Vellu yang sedia menimbang untuk bercuti selama dua bulan dari tugasnya sebagai Presiden MIC, susulan desakan pelbagai pihak supaya beliau mengkaji semula pelan persaraannya.

Dengan nada sinis Dr Mahathir berkata: "Dia (Samy Vellu) sepatutnya menyambung sehingga 20 tahun lagi, dua bulan itu tak cukup."

Mengenai pelancaran parti Makkal Sakti pada 10 Oktober ini yang dikatakan parti alternatif memperjuangkan masyarakat India, bekas Perdana Menteri berkata, parti itu ditubuhkan selepas mendapat banyak sokongan.

"Saya fikir ia sesuatu yang bagus sebab kita tak mahu kehilangan sokongan daripada masyarakat India dan pada masa sama saya fikir pengaruh MIC semakin berkurangan," katanya.

Tiada ulasan: