Jumaat, 25 September 2009

Pelukan Amma satu 'terapi' roh dan jiwa

Amma dikenali sebagai "The hugging Saint" atau 'Santa Peluk' di seluruh dunia.

DALAM sehari, Mātā Amritanandamayī Devi memeluk lebih daripada 50,000 orang. Dalam tempoh 30 tahun, Mata atau lebih mesra disapa "Amma", "Ammachi" atau "Ibu" telah memeluk sekurang-kurangnya 30 juta orang.

Amma bukan sebarang insan biasa. Amma dikenali sebagai "The hugging Saint" atau 'Santa Peluk' di seluruh dunia. Dia boleh duduk lebih dari 20 jam sehari untuk memeluk sesiapa yang mendekatinya.

Anda tanya apa istimewanya pelukan Amma? Pelukan Amma adalah suatu 'terapi' yang menyembuhkan jiwa dan rohani seseorang.

Amma telah menghabiskan sebahagian besar hidupnya mengurangkan penderitaan manusia menerusi pelukan. Dengan memeluk seseorang, Amma telah memohon restu untuk seseorang itu.

Ditanya mengapa dia memeluk sesiapa yang mendapatkan 'restu'nya dengan penuh kasih sayang, Amma menjawab, "Jika anda tanya sebatang sungai 'Kenapa ia mengalir?' Apa yang boleh ia katakan?"

Sehubungan itu, tangan Amma sentiasa terbuka luas untuk memeluk sesiapa sahaja, tanpa mengira status, keturunan, agama dan darjat. Sama ada individu hodoh atau berpenyakit, Amma sedia memeluknya.

Amma menjelaskan: "Apabila seekor lebah berterbangan merentasi satu taman yang ditumbuhi bunga-bungaan. Apa yang menarik perhatian lebah itu adalah madu bunga-bungaan itu.



Mereka yang mempunyai masalah peribadi, kebuntuan
akal dan sebagainya boleh menemui jawapannya dengan
mendapatkan pelukan Amma.-Foto THE STAR oleh
ONG SOON HIN

"Lebah itu memandang enteng perbezaan bunga-bungaan itu. Menggunakan prinsip yang sama, Amma melihat semua individu sama rata di sisi Tuhan."

Mereka yang mempunyai masalah peribadi, kebuntuan akal dan sebagainya boleh menemui jawapannya dengan mendapatkan pelukan Amma.

Amma dilahirkan sebagai Sudhamani pada 27 September 27, 1953 di sebuah kampung nelayan yang miskin 'Parayakadavu'. Ibu bapanya menamakannya Sudhamani.

Lahirnya di dunia bukan diiringi tangisan bayi tetapi senyuman pada wajahnya. Ini seolah-olah menggambarkan dia bakal membawa kegembiraan kepada seluruh dunia.

Sejak kecil lagi, Suddhamani mempamerkan kasih sayang dan belas kasihan terhadap setiap orang. Beliau ialah seorang pemimpin spiritual Hindu di India yang dipuja sebagai seorang 'saint (santa)' oleh para pengikutnya.

Beliau terkenal dengan aktiviti-aktiviti kemanusiaannya di merata-rata tempat.

Bagi Amma, kasih sayang yang tidak mementingkan diri sendiri tidak patut pupus dari muka bumi ini.

"Penyelesaian berbentuk satu patah perkataan untuk semua masalah yang dihadapi di dunia hari ini ialah 'compassion (belas kasihan)'," kata Amma.

Tiada ulasan: