MSTAR ONLINE
KOTA KINABALU: Pemimpin sedia ada akan terus menyandang semua jawatan penting dalam Puteri Umno sehingga berakhir pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan Dewan Undangan Negeri Bukit Selambau 7 April ini.
Ketua Puteri, Datuk Noraini Ahmad berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat khas badan itu di Bukit Gantang baru-baru ini. "Walaupun selepas Perhimpunan Agung Umno ini akan berlaku perubahan kepimpinan tetapi kami bersetuju supaya status quo dikekalkan bagi membolehkan kepimpinan sedia ada meneruskan tugas sehingga pilihan raya kecil berakhir," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis suai kenal calon-calon exco Puteri Umno dengan perwakilan Puteri Umno Sabah di sini, hari ini.
Noraini berkata, keputusan itu akan membolehkan Puteri Umno menumpukan perhatian sepenuhnya kepada usaha untuk memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di dua pilihan raya kecil itu.
Berikutan ketetapan itu, struktur baru pergerakan itu termasuk Ketua Puteri di setiap negeri akan diketahui selepas tamat pilihan raya kecil berkenaan, katanya.
"Semua pihak termasuk mereka yang akan meninggalkan Puteri kerana usia sudah melebihi had telah menyatakan komitmen berganding bahu memastikan kemenangan calon BN nanti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan