WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan PAS, Dato Mahfuz Omar dan rakan sejawatnya, Tian Chua dari KeADILan, menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar bagi membincangkan isu penggantungan Harakah dan Suara KeADILan (SK) tiga bulan yang berkuatkuasa serta merta.
Dalam satu sidang media di Parlimen hari ini, kedua-dua pemimpin ini setuju untuk bertemu dengan Syed Hamid bagi membincangkan perihal mengapa penggantungan dilakukan tanpa sebarang pelanggaran peraturan.
Turut hadir dalam sidang media itu ialah Pengarang Berita Harakah, Mohd Rashidi Hassan dan Ketua Pengarang Suara KeADILan, Zunar.
Mahfuz berkata, tindakan penggantungan tanpa sebab ini sebenarnya menunjukkan kerakusan pihak kerajaan yang menolak dempokrasi dan perbezaan pandangan.
Malah tindakan ini ujarnya dilihat sebagai jalan untuk menyekat suara rakyat yang sahih untuk terus diutarakan kepada kerajaan.
"Saya melihat kerajaan Umno/BN sudah hilang modal untuk menjawab persoalan seperti rasuah dan penyelewengan yang diutarakan dua akhbar ini hingga mereka terpaksa menggantung sebagai jalan menutup maklumat yang sebenar," katanya.
Mahfuz menggesa KDN menarik kembali penggantungan selain pihaknya juga akanmengusahakan beberapa pertemuan dengan agensi terbabit bagi menyatakan bantahan terhadap penggantungan.
Sementara itu Tian Chua pula melahirkan rasa kecewa dengan penggantungan akhbar partinya tanpa sebarang alasan oleh KDN.
Surat yang difakskan kepada akhbarnya hanya menyatakan tentang penggantungan serta-merta sedangkan alasan tidak dinyatakan, katanya.
Beliau menyifatkan tindakan itu satu keterdesakan Umno/BN yang kini lemas dengan maklumat korupsi dan isu bersangkutan kerajaan yang disampaikan SK dan Harakah kepada rakyat.
"Kita juga akan mengkaji sebarang kemungkinan untuk mohon injunksi di mahkamah bagi membatalkan arahan KDN ini, ini kita akan lihat dalam masa terdekat, katanya
Sebelum sidang media itu, Mahfuz, Tian dan Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub telah menyerbu Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato' Chor Chee Heung di lobi Parlimen.
Mereka mahu Chor memberi penjelasan berhubung rasional penggantungan itu selain mendesak tindakan itu ditarik kembali.
Selain itu Mereka juga mahu Chor mengatur pertemuan antara mereka dan Syed Hamid dalam masa terdekat.
Chor hanya berkata " kalau tak dapat bagi tahu saya, nanti saya tolong"./wann _
Tiada ulasan:
Catat Ulasan