Oleh G.MANIMARAN dan ARIFFUDDIN ISHAK
[DIKEMAS KINI 4 petang]
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan menghadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Tuanku Mizan Zainal Abdin untuk memaklumkan hasratnya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, pada 2 April, Khamis depan.
Kata beliau jika diberi perkenan Datuk Seri Najib Tun Razak akan dilantik sebagai Perdana Menteri keenam.
"Saya akan menghadap YDPA untuk memaklumkan peletakkan jawatan saya dan jika diberi perkenan, Datuk Seri Najib akan menjadi Perdana Menteri," katanya semasa mengulung perbahasan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur hari ini.
Difahamkan Najib yang dipilih menjadi Presiden Umno akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Jumaat depan.
Abdullah memegang jawatan Perdana Menteri sejak tahun 2003.
Pada Selasa lalu Abdullah yang juga Presiden Umno meminta mana-mana pihak "jangan mengganggu" beliau dengan mendesak mengumumkan tarik serah jawatan Perdana Menteri.
Dalam ucapan Dasar Presidennya kelmarin, Abdullah berkata, beliau akan memberi sokongan padu kepada Presiden Umno yang baru, Najib yang akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri.
Difahamkan Abdullah akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet terakhir Rabu depan.
Dalam pada itu pada sidang media yang turut dihadiri Najib dan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Abdullah berkata:
"Saya akan menghadap Yang di-Pertuan Agong...saya tidak mahu kata apa-apa yang lain."
Berhubung soalan sama ada perlu ada usul undi tidak percaya bagi Najib di Parlimen, Abdullah memberitahu, soal tersebut tidak perlu sama sekali.
"Saya tidak faham mengapa perlunya usul sedemikian.
"Pemimpin parti yang mempunyai kerusi terbanyak akan mengambil alih jawatan sebagai Perdana Menteri," katanya.
Dalam pada itu, Najib ketika ditanya mengenai tarikh beliau akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri berkata, biar Abdullah menghadap Yang di-Pertuan Agong minggu depan.
"Biar Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuang Agong dulu dan kemudian proses penyerahan dan pelantikan akan berjalan sebagaimana disaksikan masa dulu.
"Biar Perdana Menteri menghadap dan semuanya akan diselesaikan kemudian," kata beliau.
Mengenai barisan Kabinet baru, "tunggu dulu. Saya belum ambil alih jawatan... belum pun saya duduk (sebagai Perdana Menteri)."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan