BERITA HARIAN ONLINE
SUNGAI PETANI: Selepas mengurus dengan baik proses penamaan 15 calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau pagi ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kini meneliti reka bentuk kertas undi bagi urusan pemilihan terbesar dalam sejarah negara.
Difahamkan, SPR sudah mereka bentuk kertas undi bersaiz A4 yang mampu memuatkan semua 15 simbol calon terbabit dengan baik, sekali gus mengelak penggunaan kertas bersaiz lebih besar yang boleh menyukarkan proses pengundian.
Simbol calon disusun dalam tiga barisan dengan lima simbol dalam setiap barisan didapati sesuai dan tidak mengelirukan pengundi.
Bagaimanapun, reka bentuk itu yang disifatkan pegawai SPR sebagai terbaik bagi pemilihan membabitkan 15 calon, perlu mendapat kelulusan pihak atasan suruhanjaya berkenaan.
SPR juga perlu menunggu penarikan diri calon dalam tempoh tiga hari yang diperuntukkan sebelum memutuskan reka bentuk akhir kertas undi bagi DUN Bukit Selambau untuk dicetak dan digunakan pada hari mengundi pada 7 April ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan